Menurut Institut Sukan Negara (ISN), pemain negara boleh memuncak dua kali setahun, bermakna, selain Olimpik, mereka juga harus mensasarkan satu lagi kejohanan besar, di mana Piala Thomas sepatutnya berada dalam senarai berikutnya.

Bagaimanapun, ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock mengakui, BAM mungkin menimbangkan untuk memilih Seluruh England sebagai sasaran kedua, seterusnya menolak Piala Thomas daripada dua keutamaan teratas.

Alasannya, Malaysia sudah lama tidak memenangi kejuaraan perseorangan pada kejohanan badminton tertua dunia dan paling prestij itu sejak Muhammad Hafiz Hashim melakukan buat kali terakhir pada 2003 - iaitu lima tahun lalu.

Tahun lepas, Malaysia berjaya membawa pulang satu kejuaraan dari Birmingham, tetapi menerusi beregu lelaki, Koo Kiet Keat-Tan Boon Heong, yang menamatkan penantian 25 tahun.

‘‘Sukan Olimpik adalah projek utama kami pada tahun 2008, jadi apa jua program yang dijalankan keutamaan diberi kepada pemain yang bakal beraksi di Beijing.

‘‘Bagaimanapun menurut Institut Sukan Negara, badminton boleh memuncak dalam dua kejohanan setahun, jadi apakah kejohanan kedua yang harus kami beri tumpuan itu belum diputuskan.

‘‘Ia boleh jadi Seluruh England kerana kita sudah lama tidak muncul juara perseorangan tetapi ia juga boleh jadi Piala Thomas, kejohanan yang memerlukan kekuatan keseluruhan sebagai satu pasukan,’’ kata Kim Hock.

Menurut Kim Hock, muktamad mengenai fokus tahun ini akan dibincang pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, yang akan dipengerusikan sendiri oleh Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh, Jumaat depan.

Sekiranya Piala Thomas menjadi keutamaan kedua, maka badan badminton negara itu perlu segera mencari kaedah terbaik untuk menguatkan bahagian perseorangan yang ketika ini terlalu bergantung kepada pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei.

Malah, Kim Hock tidak menafikan, kekuatan utama Malaysia ketika ini adalah dalam acara beregu, di mana Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Choong Tan Fook-Lee Wan Wan dan Mohd. Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari mampu diharap.

Dalam perseorangan, untuk tempoh yang terdekat, pilihan yang dimiliki Malaysia selain Chong Wei, pastinya Hafiz, diikuti Wong Chong Hann - dua pemain yang masih cuba mengukuhkan kedudukan.

Pencarian calon perseorangan keempat dan kelima kemudian bermula dengan beberapa calon dari pasukan kelab seperti Lee Tsuen Seng, Mohd. Roslin Hashim dan Sairol Amar Ayob, malah jika BAM mahu mengetengahkan pemain sendiri, nama seperti Yeoh Kay Bin, Kuan Beng Hong atau Tan Chun Seang mungkin menjadi pilihan.

Berbanding Seluruh England, kemarau Malaysia untuk menjulang Piala Thomas sudah terlalu lama, iaitu menjangkau 16 tahun sejak kali terakhir kita mendakap piala prestij itu di Kuala Lumpur pada 1992.

Dalam penampilan terakhir di Jepun dua tahun lalu, pasukan negara pulang hampa apabila tersingkir pada separuh akhir selepas kecundang 2-3 kepada Denmark.

Cabaran Piala Thomas 2008 akan bermula dengan pusingan kelayakan yang berlangsung di Ho Chi Minh pada 19-24 Februari depan, diikuti pusingan akhir di Jakarta dari 11-18 Mei.