Konsortium itu terdiri daripada Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB), UEM Group Bhd. dan Medical Care Service Inc. (MCS), syarikat dari Jepun yang berpengalaman dalam perkhidmatan penjagaan sejak 1999.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, projek usahasama itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 0.60 hektar milik PHB berdekatan Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Katanya, Rei Seraya merupakan perkhidmatan penjagaan mewah yang pertama seumpamanya ditawarkan dengan dua jenis pilihan perkhidmatan sama ada Assisted Living atau Independent Living yang boleh dilihat sendiri di pusat jualan Discovery Gallery. Projek ini adalah untuk disewa dan penduduk tidak akan dibenarkan untuk membelinya.

“Kami ketika ini sedang menjalankan kajian pasaran untuk mengumpul maklum balas daripada orang ramai mengenai kemudahan yang diperlukan sebelum memuktamadkan sebarang jumlah dari segi nilai pembangunan kasar dan purata sewa bagi setiap kaki persegi.

“Kajian ini kemungkinan dapat dirumuskan pada akhir tahun ini dan projek Rei Seraya dijangka siap pada akhir 2021 dan beroperasi menjelang 2022,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Discovery Gallery di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group, Datuk Izzaddin Idris dan Naib Presiden, Pe­ngarah Bahagian Pengurusan Luar Negara MCS, Grace Wang.

Projek usahasama itu yang majoritinya dimiliki oleh PHB dan UEM Group memberi peluang kepada konsortium untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas bertaraf dunia di Kuala Lumpur setanding dengan negara maju.

Dua perkhidmatan yang ditawarkan adalah Assisted Living yang berkeluasan 27.87 meter persegi dilengkapi bilik mandi en-suite berkonsepkan kediaman eks­klusif, menawarkan perkhidmatan penjagaan berskala sederhana hingga tinggi.

Independent Living pula berkeluasan 83.61 meter persegi berkonsepkan pangsapuri mewah merupakan pangsapuri dua bilik tidur dengan bilik mandi en-suite, dapur dan ruang tamu. Perkhidmatan penjagaan turut disediakan atas permintaan penghuninya.