Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng berkata, nilai itu merupakan peningkatan kira-kira 10 kali ganda berbanding hanya RM500,000 daripada portal tersebut yang dicapai tahun lalu iaitu pada tahun pertama beroperasi.

Menurut Ng, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan orang ramai untuk berbelanja secara dalam talian terutama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai bukti kata beliau, meskipun baru dilancarkan tahun lalu, PG Mall sehingga kini sudah mempunyai lebih 200,000 pelanggan berdaftar selain menyaksikan pertambahan pelanggan baharu yang menggalakkan.

“Selain itu, PG Mall juga mendapat sokongan kira-kira 6,000 pengedar yang menjual lebih 500,000 produk pelbagai jenis sekali gus menawarkan pengalaman beli-belah secara online yang menyeluruh kepada orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Louis, sebagai satu-satunya portal beli-belah tempatan, PG Mall dibangunkan dengan konsep berbelanja ‘ConsuMerchant’ yang memenuhi gaya hidup dan budaya berbelanja rakyat Malaysia.

Katanya, menerusi konsep itu, PG Mall dari semasa ke semasa menawarkan pelbagai promosi termasuk harga diskaun serta ganjaran nilai kepada pembeli dan pengedar sekali gus memastikan harga produk mereka kekal murah.

Mengenai perancangan masa depan, Ng berkata, pihaknya menyasarkan tempoh lima tahun akan datang untuk memastikan PG Mall muncul sebagai portal beli-belah utama di negara ini.