Bagaimana pelabur boleh mengelakkan diri daripada berlakunya kesilapan yang berpotensi merugikan pelabur?

Perkara yang sangat pen­ting sebelum seseorang itu melakukan urus niaga saham ialah pelabur perlu tahu saham apakah yang ingin dibeli. Maksudnya seperti berikut:-

Apakah jenis saham yang ingin dibeli?

Sebagai contoh sama ada ia merupakan sejenis waran, saham biasa, saham keutamaan, terbitan hak, waran berstruktur dan sebagainya.

Apakah peruntukan-peruntukan yang terdapat pada saham yang ingin dibeli?

Sebagai contoh, pemegang saham bakal mendapat terbit­an hak, terbitan bonus, saham pecahan, pembayaran dividen dan sebagainya.

Apakah yang bakal terjadi pada saham tersebut di masa hadapan?

Sebagai contoh, sama ada jumlah unit saham akan bertambah atau menyusut, saham syarikat tersenarai telah diklasifikasikan sebagai saham di bawah PN 17 dan sebagainya.Dengan adanya pema­ha­­m­an tentang struktur pasaran saham, maka pelabur dapat me­ngurangkan risiko kerugian atau mengelakkan kerugian yang bakal berlaku disebabkan tiada asas pengetahuan tentang pasaran saham.

Justeru, pelabur yang tiada asas pengetahuan tentang pasaran saham dinasihatkan untuk bertanya kepada dealer atau remisier apa sahaja perkara berkenaan pasaran saham. Di samping itu, pelabur baharu boleh membaca penerangan tentang keseluruhan pasaran saham di laman web Bursa Malaysia. Di laman web tersebut terdapat penera­ngan seperti jenis-jenis produk, prosedur dagangan, terminologi pasaran, senarai syarikat broker saham dan sebagainya.

Pelabur juga harus membaca atau mengambil tahu tentang perkembangan semasa berita-berita syarikat tersenarai terutamanya berita tentang syarikat tersenarai yang sahamnya berada di dalam portfolio pelaburan pelabur. Berita atau pengumuman ini boleh didapati di platform urus niaga saham itu sendiri. Di samping itu, notis pemberitahuan juga kadang kala dihantar dalam bentuk bahan bercetak kepada pemegang saham contohnya pengumuman tentang pemberian terbitan hak.

Sekiranya pelabur tidak faham tentang pengumuman pemberian sesuatu peruntuk­an kepada pemegang saham syarikat tersenarai tertentu, pelabur boleh meminta bantuan remisier, dealer atau mana-mana pegawai yang berkenaan di syarikat broker saham untuk menerangkan tentang peruntukan tersebut. Ramai pelabur masih tidak faham tentang peruntukan-peruntukan saham syarikat tersenarai seperti terbitan hak, pemberian dividen, terbitan bonus, saham pecahan dan sebagainya. Ramai pelabur saham yang melakukan tindak­an ini iaitu terus membeli saham yang akan melalui proses-proses ini tanpa mempunyai pengetahuan langsung. Dan sekiranya harga saham atau jumlah unit saham berubah, mereka masih tidak sedar dan tidak tahu apakah sebenarnya yang berlaku.

Salah satu contoh juga ialah yang mana saham syarikat tersenarai bakal membayar dividen kepada pemegang saham. Ramai pelabur tidak peka atau tidak tahu tentang tarikh pelaksanaan (ex-date) serta tarikh pembayaran. Pelabur kadang kala tersedar apabila harga saham berubah pada tarikh pelaksanaan. Mereka juga tidak membuat perkiraan tentang kejatuhan harga saham pada tarikh pelaksanaan serta jumlah pembayaran dividen tersebut serta tidak mengetahui nilai par saham tersebut. Pembayaran dividen ini diumumkan dalam kadar peratus atau sen.

Kebiasaannya harga saham akan berubah pada tarikh pelaksanaan. Ia cenderung kepada kejatuhan harga dan daripada sini adakah pembayaran dividen pada tarikh yang mana pelabur bakal terima itu mele­bihi harga asal yang dibeli? Dengan erti kata lain, modal pelaburan bertambah. Ataupun adakah ia masih sama walaupun pelabur telah mendapat dividen disebabkan harga jatuh pada tarikh pelaksanaan dan masih tidak naik atau masih menurun sehingga tiba tarikh pembayaran dividen?

Dalam kes penyusutan modal pula, pelabur dinasihatkan untuk menghubungi dealer atau remisier untuk memeriksa baki saham yang telah melalui pro­ses ini kerana pada tarikh perlaksanaan, baki saham masih menunjukkan jumlah yang asal. Pada masa tersebut, Sistem Depositori Pusat masih belum lagi mengemas kini data-data. De­ngan penerangan selama dua siri ini, diharapkan pelabur tidak lagi membuat atau mengulangi kesilapan di masa akan datang. Selamat melabur.