Usaha itu dicapai apabila syarikat itu memeterai dua memo­randum persefahaman (MoU) bersama syarikat minyak dan gas, Petrotel Energy Oman (Petrotel) di Muscat, Oman, semalam.

MoU itu bertujuan membuka laluan usaha sama dalam sektor mi­nyak dan gas negeri, seiring kedudukan Sarawak sebagai pemain utama industri petroleum negara.

MoU pertama ditandata­ngani Petrotel Energy Oman LLC (PTO), pemilik hak penerokaan dan pengeluaran sumber petroleum Oman bersama South Sea Energy (SSE) yang memiliki kepentingan kerajaan negeri, manakala MoU kedua ditandatangani antara Petros bersama SSE dan Petrotel.

Petros diwakili Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo, manakala SSE diwakili Presidennya, Lily Chin dan Petrotel diwakili Pengerusi merangkap Ketua Eksekutifnya, Dr Anil Chopra.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang mengetuai misi pelaburan dan perdaga­ngan negeri selama lima hari ke Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Abang Johari, projek kerjasama itu membabitkan peluang usaha sama membangunkan sektor hiliran dalam industri minyak dan gas yang juga antara matlamat utama PETROS ditubuhkan.

Katanya, usaha sama ber­kenaan dipercayai memberi impak positif terhadap pemain industri minyak dan gas dalam kalangan anak tempatan.