Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pendapatan pula meningkat 15 peratus kepada RM223.6 bilion daripada RM195.1 bilion yang dicatatkan pada 2016.

Sehubungan itu beliau mengumumkan syarikat minyak negara akan membayar dividen seba­nyak RM16 bilion kepada kerajaan berdasarkan prestasi kewa­ngan sepanjang 2017 itu.

“Prestasi cemerlang ini dipacu oleh usaha transformasi berterusan syarikat yang menumpukan kepada kos yang optimum dan kecekapan selain disokong harga komoditi lebih tinggi seterusnya meningkatkan margin.

“Pendapatan lebih kukuh itu didorong harga purata direalisasikan lebih tinggi yang diraih produk utama di sam­ping kesan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya ketika mengumumkan Prestasi Kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Pe­tronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan, Datuk George Ratilal; Naib Pre­siden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Datuk Mohd. Anuar Taib dan Naib Pre­siden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran, Datuk Md. Arif Mahmood.

Secara keseluruhannya aset Petronas setakat 31 Disember lalu turun sedikit kepada RM599.8 bilion daripada RM603.4 bilion pada 2016 disebabkan kesan pe­ngukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Wan Zulkiflee berkata, aliran tunai daripada aktiviti operasi bertambah kepada RM75.7 bilion, peningkatan sebanyak 41 peratus daripada RM53.8 bilion pada 2016.

Dalam pada itu, ujarnya lagi, pemulihan sederhana harga mi­nyak ditambah dengan usaha dalaman yang giat untuk mening­katkan kecekapan telah me­nyumbang kepada prestasi kukuh syarikat pada 2017.

“Walau bagaimanapun, harga minyak mentah semasa masih mapan,” katanya sambil menambah belanjawan 2018 Petronas akan dirangka berdasarkan anggaran harga minyak AS$52 (RM203.58) setong.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2017, untung bersih Petronas melonjak 61 peratus kepada RM18.2 bilion daripada RM11.3 bilion pada suku yang sama 2016.

Prestasi itu didorong perolehan lebih tinggi dan susut nilai bersih lebih rendah ke atas aset dan kos yang baik.

Perolehan pada suku yang dinilai itu meningkat 14 peratus kepada RM61.8 bilion dipacu oleh harga purata yang direalisasikan lebih tinggi bagi produk utama dan peningkatan jumlah jualan terutama daripada gas asli cecair dan produk petroleum.