Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ia bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan memanfaatkan kekuatan dan perkongsian nilai kedua-dua belah pihak.

Katanya, usaha sama itu akan menyaksikan kedua-dua syarikat saling bekerjasama untuk mening­katkan penggunaan produk Petronas oleh anggota TM.

Jelas beliau, ia melibatkan TM dan Petronas Dagangan Berhad (PDB), Petronas ICT, KLCC Pro­perty dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi memboleh­kan semua pihak memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk mencipta nilai dan pertumbuhan lebih tinggi buat industri dan seterusnya ekonomi negara.

“PDB bakal meluaskan perkhidmatan SMARTPay kepada warga TM bagi membolehkan pembayaran tanpa tunai dan meningkatkan kecekapan operasi di samping memberikan TM penjimatan kos petrol yang ketara setiap tahun.“PDB dan TM akan membangunkan rangkaian infrastruktur generasi akan datang bagi mempertingkatkan rangkaian perniagaan runcit PDB dan memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan pelanggan di ste­sen-stesen PDB,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata, TM bersama unit rumusan perniagaannya, TM ONE berbangga dapat memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam membentuk ekosistem untuk transformasi digital Petronas.

“TM komited untuk membawa rumusan perniagaan bersepadu bagi memenuhi keperluan perniagaan yang canggih dan dinamik, termasuklah industri petroleum dan gas, terutamanya dalam persekitaran masa kini yang terhubung secara digital,” tambah beliau.