Produk Petronas iaitu Primax dan Syntium, dinamakan sebagai penerima Anugerah Emas Putra Brand bagi kategori produk minyak automotif, pelincir dan aksesori.

Anugerah Emas yang diterima oleh Petronas itu merupakan kemenangan kesembilan bagi Primax dan ketujuh untuk pelincir Syntium.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd. (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, beliau berbangga kerana PDB dipilih untuk memenangi anugerah itu.

“Petronas sentiasa berusaha membina kepercayaan melalui jenamanya. Ia adalah keutamaan kami untuk menyampaikan kualiti yang berterusan dan penyelesaian yang inovatif kepada semua pelanggan.

“Kesetiaan dan kepercayaan pelanggan terhadap jenama dan produk Petronas sememangnya menyumbang kepada pencapaian ini. Terima kasih kerana menjadikan Petronas sebagai sebahagian daripada hidup anda,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Anugerah Putra Brand itu mengiktiraf syarikat yang mempamerkan komitmen pembangunan jenama yang berterusan menerusi komunikasi dan inovasi produk serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Bahan api dan pelincir Petronas merupakan hasil pengetahuan, teknologi dan inovasi yang diperolehi daripada Penyelesaian Teknologi Pelincir (FTS) Petronas yang lengkap dengan pendekatan pintar untuk memaksimumkan prestasi enjin.

Gabungan produk Primax dan Syntium telah membantu Pasukan Formula 1 (F1) Mercedes-AMG Petronas meraih gelaran Kejohanan Pembina Dunia untuk kali keempat pada tahun lepas.