Menurut portal Pipeline News Worth, syarikat minyak negara itu merancang untuk memindahkan pusat kecemerlangan gas bukan konvensional (COE) ke Calgary di Kanada berpandukan kepada potensi aset gas asli cecair di British Columbia.

Fasiliti eksport LNG Pacific NorthWest yang merangkumi saluran paip sepanjang 900 kilometer memindahkan gas asli yang dikeluarkan Progress Energy Ca­nada (Progress Energy), iaitu anak syarikat milik penuh Petronas di timur laut British Columbia, pada mulanya dicadangkan untuk menampung permintaan pasaran Asia.

Bagaimanapun, portal tenaga itu memetik Pengerusi Pacific NorthWest LNG, Datuk Mohd. Anuar Taib sebagai berkata, Petronas meletakkan Progress Energy sebagai satu daripada pengeksport utama gas ali di Amerika Utara.

Petronas mengambil alih Pe­tronas Energy pada 12 Disember 2012. Urus niaga itu berdasarkan usaha sama yang ditubuhkan antara kedua-dua syarikat pada 2011 untuk membangunkan sebahagian daripada aset gas asli Progress Ener­gy di Montney yang terletak di utara British Columbia.

Minggu lalu, Petronas memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan projek tersebut setelah menambil kira harga global LNG yang lemah.

Keputusan Petronas itu merupakan tamparan terbaharu kepada sektor tenaga Kanada di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang mahu melaksanakan dasar ke­seimbangan antara eksport tenaga dengan langkah-langkah pemeliharaan alam sekitar.

Petronas adalah pengeksport LNG ketiga terbesar dunia selepas Qatar dan Australia. Sumbangan Petronas di Kanada adalah signifikan selepas ia terbukti memiliki rizab kira-kira 26 bilion kaki padu (Bcf).

Sementara itu, Presiden Progress Energy, Mark Fitzgerald berkata, pihaknya akan terus mencari jalan untuk membangunkan barat Kanada dan juga pasaran gas asli Amerika Utara.

Dalam masa sama, pengeluar LNG Amerika Syarikat (AS), Cheniere Energy Inc. turut menyuarakan hasrat untuk mendapatkan perjanjian pembelian gas dari British Columbia dan Alberta untuk memperluaskan bekalan loji LNG ke perairan teluk AS.