Menurut laporan Reuters, dua daripada enam blok tersebut dianugerahkan kepada unit Petronas, PC Carigali manakala selebihnya secara bersekutu dengan syarikat lain.

Kesemua blok berkenaan terletak di daerah Tamaulipas, di pantai timur laut Mexico.

Menurut Pengurus Negara PC Carigali di Mexico, Faisal Bakar, Petronas mahu meneroka kawasan blok-blok berkenaan dan mencari minyak dan gas.

Dalam lelongan itu juga, Royal Dutch Shell meraih sembilan blok dengan empat daripadanya sebagai pembida tunggal, empat secara konsortium dengan Qatar Petro­leum dan satu menerusi kerjasama dengan syarikat gergasi minyak, Petroleos de Mexico (Pemex).

Pemex pula memperoleh empat blok dengan dua daripada secara sendirian manakala dua lagi menerusi konsortium dengan syarikat lain.

Mexico menganggarkan le­long­an tersebut, yang paling penting sejak negara berkenaan membuka sektor tenaga kepada firma asing sejak 2014, akan menjana pelaburan sehingga AS$93 bilion (RM361.16 bilion) kepada negara memandangkan blok-blok tersebut akan dibangunkan. Secara keseluruhan blok tersebut dianggarkan memiliki 4.2 bilion tong minyak.

Timbalan Setiausaha Tenaga negara itu, Aldo Flores berkata, ia menandakan satu kejayaan kepada sektor minyak di Mexico.

“Pelaburan berjumlah AS$93 bilion itu mampu mewujudkan 230,000 peluang pekerjaan bagi tempoh 15 tahun pertama. Pengeluaran pula akan bermula seawal 2028,” katanya.

Menjelang pusingan bidaan, kerajaan sebelum itu dilaporkan berkata, hanya menjangkakan tujuh daripada 29 blok yang ditawarkan akan dianugerahkan tetapi akhirnya ia menawarkan 19 blok dengan 10 blok tidak menerima bidaan.

Blok-blok minyak dan gas yang dilelong pada Rabu lalu boleh mengepam lebih 1.5 juta tong setiap hari dan empat bilion kaki padu gas setiap hari menjelang 2032. Mexico ketika ini mengeluarkan kira-kira 1.9 juta tong setiap hari.

Dengan menerima AS$525 juta (RM2.04 bilion) secara tunai daripada syarikat-syarikat yang memenangi blok berkenaan, ia dapat disalurkan kepada dana kerajaan. – REUTERS