Pengurus Besar, Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corp. Sdn. Bhd., Anita Azrina Abdul Aziz

Cuma sebagai orang awam, anda mungkin hanya dapat melihat daripada kejauhan disebabkan kawasan projek ini dikategorikan sebagai kawasan terhad. Namun, pemandangan rupa bentuk menara-menara besi pun sudah cukup mencetuskan rasa kekaguman.

PIC merupakan satu daripada projek pembangunan industri minyak dan gas terbesar di rantau ini sekali gus pelaburan sektor hiliran terbesar Petronas di Malaysia. PIC terdiri daripada sebuah loji penapisan minyak yang mampu memproses 300,000 tong minyak sehari dan loji-loji petrokimia yang akan menghasilkan produk-produk petrokimia premium berbeza dan khusus.

Projek ini tidak hanya bertujuan untuk memenuhi keperluan bagi produk-produk petroleum dalam negara serta pelaksanaan penggunaan bahan api berspesifikasi Euro 5, tetapi ia juga bakal memenuhi pertumbuhan permintaan bagi produk petrokimia di rantau Asia untuk 20 tahun yang akan datang.

Dengan pe­la­bu­ran bernilai AS$27 bi-lion, PIC turut menyokong Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dijalankan oleh kerajaan serta memacu sektor hiliran industri minyak dan gas Malaysia, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai peneraju pembangunan ekonomi dan teknologi.

“PIC ini merangkumi kawasan seluas 2,526 hektar atau 6,242 ekar yang bersamaan dengan 3,500 padang bola sepak,’’ kata Anita Azrina Abdul Aziz. Secara teknikalnya, PIC kini yang rancak dalam pembinaan, menyamai istilah bandar kecil.

Menurut Anita, projek ini akan mengambil masa 58 bulan untuk disiapkan bermula dari tarikh FID pada April 2012 dengan loji penapisan minyak dan perekah wap (steam cracker) dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2019 disusuli loji Petronas Chemical pada suku kedua.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kami mencapai kemajuan banyak, iaitu operasi dermaga Tanjung Setapa mula beroperasi Mac 2016 dan Projek Air Mentah RAPID (PAMER) di Sungai Seluyut pada Julai 2016,’’ ujarnya.

Setakat April tahun ini, loji rawatan air mentah juga telah disiapkan, manakala tangki LNG RGT2 yang pertama giat dibina dan dijangka siap Ogos ini, termasuk dermaga Terminal 2 Laut Dalam Pengerang LNG. Loji co-gen Pengerang pula pada Oktober ini.

Pada masa ini, kira-kira 43,000 pekerja pembinaan daripada pelbagai negara bekerja mengikut shif. Menjelang akhir tahun, jumlah keseluruhan pekerja dijangka akan mencapai 60,000 orang bagi menyiapkan projek itu pada 2019.

Kawasan pembinaan PIC dikawal selia dengan ketat. Kenderaan tidak dibenar dipandu melebihi 30km sejam, dan hukuman penggantungan kendera­an selama sebulan dikenakan terhadap mereka yang dikesan melanggar peraturan itu. Peraturan permit kerja ke lokasi khusus juga dikenakan terhadap semua pekerja, bagi memastikan perge­ra­kan mereka diketahui.

Dalam kawasan pejabat pentadbiran, terdapat hospital yang dikendalikan oleh doktor dari hospital swasta dan balai bomba.

Menjaga kesejahteraan puluhan ribu pekerja asing daripada seluruh dunia, bukan sesuatu yang mudah.

Dalam konteks ini, kawasan seluas 404 hektar (1,000 ekar) diperuntukkan bagi kawasan tempat tinggal dan kemudahan untuk para pekerja merangkumi kedai serbaneka, tempat ibadat, panggung wayang percuma dan kemudahan sukan termasuk kriket.

Pihak Petronas juga memper­kenalkan pasar malam Sabtu dan Ahad, di mana pengusaha tempatan dibenar berjaja di kawasan yang dikhususkan dan ia telah mendapat sambutan baik daripada para pekerja.

Pada permulaan pasar malam diperkenalkan, sebanyak 33 gerai dibuka, dan bagi fasa kedua, ia dijangka mencecah 50 gerai. Kesemua penjaja datang dari tujuh perkampungan yang terbabit dalam projek PIC dan kawasan sekitar.

Setakat akhir tahun 2016, pelbagai kontrak bernilai AS$807 juta (RM3.6 billion) telah diberikan kepada 194 kontraktor dari Johor.

“Ramai lagi pengusaha tempatan diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti perniagaan. Sebagai contoh, tahun lepas kami melantik Koperasi Pengerang Jaya Johor Bhd. (KOPEJA) bagi menguruskan stesen minyak komersial di tapak PIC.

“Ahli koperasi ini terdiri daripada penduduk kampung setempat. PIC juga setakat ini telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 20,500 rakyat Malaysia, di mana lebih 25 peratus jumlah pekerja berasal dari Johor,’’ jelas Anita.

MUKADIMAH AKTIVITI merata dan mengangkut tanah oleh ratusan lori, merupakan memori yang terpahat di minda semasa pertama kali meninjau tapak pembinaan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) milik Petronas pada 2014.

Kini, lori-lori tanah tiada lagi sebaliknya diganti dengan lori-lori gergasi bagi mengangkut komponen-komponen kilang yang diimport dari merata dunia menerusi jalan laut dan berlabuh di pelabuhan Tanjung Setapa.

Kunjungan kedua ke PIC pada 25 April lalu, menyaksikan lebih 60 peratus pembinaan telah siap. Turbin-turbin dan paip besi bersaiz gergasi ada yang sudah siap terpasang, ada yang siap sedia untuk dipasang dan ada juga yang baharu diturunkan dari kapal. Setiap satunya memerlukan empat lorong jalan untuk dibawa ke tapak pembinaan.

Projek PIC merangkumi fasiliti teras seperti Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan juga beberapa kemudahan sokongan yang lain.

“Kemajuan yang dicapai adalah mengikut jadual,” kata Pengurus Besar, Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corp. Sdn. Bhd., Anita Azrina Abdul Aziz kepada Pengarang Berita Ekonomi Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim yang meninjau ke tapak projek PIC di Pengerang, baru-baru ini.