Petronas Chemical dalam kenya­taannya kepada Bursa Malaysia memberitahu, pihaknya telah menandatangani perjanjian de­ngan unit Saudi Aramco, Aramco Overseas Holdings Coöperatief U.A.(AOHC) bagi melupuskan separuh daripada 100 peratus kepentingannya pada Jumaat lalu.

Jelasnya, syarikat akan ber­kongsi projek dan risiko operasi bersama Saudi Aramco apabila melupuskan 50 peratus kepen­tingan ekuiti dan 50 peratus daripada pinjaman pemegang saham dalam PRPC Polymer kepada AOHC

“Saudi Aramco akan membe­kalkan sehingga 70 peratus bekalan bahan mentah kepada PRPC RC yang akhirnya akan membawa kepada kemapanan bekalan bahan mentah daripada PRPC RC ke PRPC Polymers.

“Petronas Chemicals akan mempunyai kesan aliran tunai positif dengan mengurangkan komitmen perbelanjaan modal hasil daripada penyertaan 50 pe­ratus Saudi Aramco dalam PRPC Polymer. Sete­rusnya ia akan menyediakan PCG dengan fleksibi­liti kewangan untuk meneruskan projek pertumbuhan strategik yang lain,” jelasnya dalam kenya­taan itu hari ini.

Tambahnya, Petronas Chemicals juga akan memanfaatkan pengalaman Saudi Aramco dalam melaksanakan dan mengendalikan projek petrokimia berskala besar dan bersepadu sama seperti Syarikat Sadara Chemical.

“Pelupusan itu juga akan menyediakan Petronas Chemicals dengan potensi peluang untuk meneruskan kerjasama strategik masa depan dengan Saudi Aramco,” jelasnya.

Aktiviti utama PRPC Polymers adalah untuk membangun, membina dan mengendalikan po­limer dan tumbuhan glikol untuk pengeluaran dan penjualan produk. Sya­rikat tersebut masih belum me­mulakan operasi sejak ia diperbadankan.

Berdasarkan penyata kewangan beraudit terkini berakhir 31 Disember 2016, PRPC Polymers belum menjana pendapatan ope­rasi dan merekodkan kerugian bersih berjumlah RM57 juta dan memiliki aset bersih bernilai RM1.3 bilion.