Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pengenalan skim baharu itu bertujuan untuk meningkatkan keupayaan syarikat tempatan dalam sektor minyak dan gas (O&G) negara.

Menurut beliau, sebanyak 18 organisasi yang terdiri daripada enam vendor utama (PAC) dan 12 syarikat perkhidmatan dan peralatan O&G akan menggunakan program VDP daripada Petronas untuk menjangkau lebih banyak vendor.

“Pelaksanaan skim tersebut menyaksikan setiap organisasi yang terlibat akan disokong dalam pelbagai lapangan seperti pembangunan perniagaan, peng­urusan kewangan, teknikal serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Tujuh agensi yang memberi sokongan adalah SIRIM Berhad, Centre for Entrepreneur Deve­lopment and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MIMOS Berhad, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun Malaysia (ACCA),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Zulkiflee, Petronas komited untuk bersama-sama membantu mematangkan para usahawan bagi mengatasi cabaran yang besar dalam industri O&G dan melahirkan kumpulan vendor yang mampu mencipta nilai.

Jelasnya, adalah penting untuk mengukuhkan ekosistem industri melalui pembangunan vendor yang mampan terutama dalam persekitaran semasa yang kian mencabar.

“VDPx merupakan evolusi kepada VDP yang dimulakan untuk membangunkan keupayaan vendor dalam O&G dan pada masa sama mewujudkan kesan berganda yang bakal memberikan kesan kepada ekonomi serta industri.

“Kami memperkasakan VDP yang telah berjaya dan kontraktor peringkat kedua bagi membangunkan ekosistem vendor mereka sendiri untuk menyokong perniagaan dan industri,” katanya.

Enam PAC yang terlibat de­ngan VDPx adalah ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc., Hess Exploration and Production Malaysia B.V., Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn. Bhd., REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Murphy Sarawak Oil Co. Ltd. dan Sarawak Shell Berhad/Sabah Shell Petroleum Company Limited.