.
.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (gambar) berkata, pendapatan juga meningkat RM1.4 bilion kepada RM57.9 bilion daripada RM56.5 bilion pada suku pertama tahun lepas.

Katanya, pertumbuhan berke­naan disokong oleh kenaikan harga purata bagi semua produk, sebahagian besarnya diimbangi oleh kesan daripada pengukuhan ringgit berbanding kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS).

“Prestasi yang menggalakkan pada suku pertama tahun ini adalah disebabkan oleh usaha transformasi yang berterusan yang memberi tumpuan kepada peningkatan perniagaan dan kecemerlangan operasi secara keseluruhan, ditambah dengan pemulihan harga komoditi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Zulkiflee, kumpulan akan terus menumpukan kepada produktiviti dan pertumbuhan yang disokong oleh pemulihan harga minyak, malah menjangkakan prestasi akhir tahun keseluruhan yang memuaskan.

“Walaupun harga minyak te­lah meningkat ke arah yang lebih tinggi, industri perlu cekap dalam meneruskan disiplin yang kos efektif dan memacu kecekapan yang telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini.

“Kerana ini akan memastikan kemapanan industri minyak dan gas di Malaysia dalam landskap global semasa yang penuh dengan persaingan,” kata beliau.

Bagi tempoh sama juga, Petronas merekodkan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bernilai RM25 bilion, meningkat sederhana sebanyak dua peratus daripada RM24.6 bilion tahun lalu.

Aliran tunai daripada operasi meningkat kepada RM21.9 bi­lion, peningkatan 22 peratus dari­pada RM18 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah aset menurun sedikit kepada RM592.8 bilion setakat 31 Mac lalu, daripada RM599.8 bilion pada 31 Disember 2017 kerana kesan daripada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Ekuiti pemegang saham pula merekodkan sejumlah RM390.7 bilion pada 31 Mac 2018, mening­kat sebanyak RM900 juta berbanding RM389.8 bilion pada 31 Disember tahun lepas disumbangkan oleh keuntungan daripada pergerakan dalam rizab terjemahan mata wang asing.