Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusa’ Hassan berkata, ST memberi masa setahun kepada Petronas Gas untuk bersedia menghadapi liberalisasi tersebut supaya ia dapat memberi manfaat kepada pihak berkepen­tingan dan pengguna.

Katanya, pihaknya menyokong sebarang langkah liberalisasi tersebut dan membenarkan pihak ketiga untuk menggunakan kemudahan mereka terutama terminal pengisian gas (regasification) dan sistem pemindahan gas.

“Kami yakin liberalisasi ini akan menyokong sistem hiliran gas supaya lebih kompetitif. Dalam masa sama, ia juga akan memberi tambahan pendapatan kepada syarikat memandangkan syarikat-syarikat berkenaan akan menggunakan terminal sedia ada kami bagi mengimport gas asli cecair.

“Malah, kami sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan kedua-dua pihak dan juga industri mendapat manfaat daripada langkah liberalisasi ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-34 Petronas Gas di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Petronas Gas, Datuk Mohd. Anuar Taib dan Ketua Pegawai Kewangan Petronas Gas, Aida Aziza Mohd. Jamaludin.

Liberalisasi gas akan menyaksikan pengimportan gas asli akan terbuka luas kepada pihak ketiga berbanding sebelum ini hanya terhad kepada Petronas.

Untuk itu, kerajaan mewartakan Rang Undang-undang Bekal­an Gas (Pindaan) 2015 merangkumi seksyen baharu yang memberi kuasa kepada menteri bertanggungjawab bagi urusan petroleum untuk meluluskan lesen bagi pengisian atau pengedaran dan pengangkutan gas.

Seksyen baharu itu memboleh­kan ST mengeluarkan lesen untuk pengisian atau pengedaran gas dengan kelulusan menteri tersebut. Lesen pengangkutan gas itu hanya diberikan kepada individu yang dilantik oleh menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Yuza’ memberi­tahu, buat masa ini, projek Petronas Gas di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) berjalan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu Terminal Pengisian Gas Asli Cecair di Pengerang, Projek Saluran Paip Gas Pengerang (PGPP) dan Unit Pengasingan Udara (ASU).

“Apabila ia beroperasi kelak, projek berkenaan akan memberi tambahan pendapatan kepada Petronas Gas dan mengintegrasikan kita dalam PIC, yang akan muncul hab utama bagi hiliran minyak dan gas,” katanya.