Wan Zulkiflee Wan Ariffin

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, penstrukturan itu juga membabitkan pembaharuan di peringkat pengurusan tertinggi syarikat untuk menanam semula sema­ngat ba­haru demi memacu semula sya­rikat berkenaan.

Katanya, segala penstrukturan yang dibuat tertumpu kepada aspek-aspek yang berada di bawah kawalan syarikat, selain bekerjasama dengan vendor-vendor ba­gi menjalankan perniagaan secara lebih cekap untuk mengurangkan kos.

Katanya, disiplin operasi dan kawalan kos akan terus menjadi perhatian utama Petronas kerana agak sukar untuk menyaksikan harga minyak dunia akan kembali kepada paras AS$100 (RM433) setong.

“Harga minyak AS$100 setong kini hanya menjadi kenangan. Kita perlu sedar mengikut realiti semasa.

“Dengan itu, Petronas mengamalkan langkah proaktif untuk meningkatkan kecekapan terma­suk dengan kaedah mengurangkan kos, kerjasama strategik dan pengenalan teknologi baharu,” katanya semasa sesi pembukaan Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) Kali Ke-19 di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid Al-Falih serta Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan.

Kata Wan Zulkiflee, fasiliti Te­rapung Gas Asli Cecair Petronas Satu (PFLNG Satu) merupakan satu daripada kemajuan syarikat berkenaan untuk menukar rentak operasi supaya kekal kompetitif di dalam industri.

“PFLNG Satu akan memudahkan Petronas menerokai aset-aset gas terpencil yang sebelum ini sa­­ngat berkos tinggi untuk diba­ngunkan. Infrastruktur itu kini telah berada di Lapangan Kano­wit, luar pesisir Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Zulkiflee berkata, Pe­tronas sentiasa menilai bilangan kakitangan agar memadai dengan keperluan operasi.

“Pembuangan kakitangan ha­nya dilakukan jika terdapat lebih­an pekerja atau mana-mana bahagian yang tidak menunjukkan prestasi yang baik,” jelasnya.