ZAKARIA ARSHAD
ZAKARIA ARSHAD

Prestasi kewangan syarikat perladangan itu sentiasa menjadi tumpuan disebabkan hubungan rapatnya dengan Felda, pemegang saham terbesar dalam FGV yang imej dan persepsinya dilihat tidak berapa baik terutama melibatkan isu hak milik tanah di Jalan Semarak yang difahamkan masih belum selesai.

Namun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yakin dengan pres­tasi kewangan yang konsisten dicatatkan setiap tahun, persepsi negatif terhadap FGV akan berubah dari semasa ke semasa.

Beliau tidak menafikan soal pasaran modal dan saham FGV adalah dua perkara yang diberi perhatian luar biasa oleh sesetengah pihak dan dalam masa sama, kumpulan perlu menghadapi pelbagai tanggapan orang luar termasuk pelabur yang menjadi satu cabaran besar kepada FGV.

“Sebagai syarikat yang disena­raikan, tanggungjawab utama kami adalah kepada peme­gang saham dan kami akan terus memberi fokus kepada amanah ini. Bagi saya pula, sebelum kita meyakinkan pelabur, kumpulan perlu memastikan prestasi perniagaan semakin pulih de­ngan merekodkan pertumbuhan keuntungan dan juga menerapkan tadbir urus yang baik dalam setiap aspek.

“Untuk itu, kami tidak boleh terlalu bertahan dalam menghadapi situasi ini sebaliknya perlu bangkit dan melawan balik de­ngan membuktikan keberkesanan pelan strategik dan prestasi operasi yang akhirnya akan membuahkan kejayaan.

“Malah, apa yang kami raih hari ini adalah hasil usaha dalam memberi tumpuan kepada perniagaan teras dan inisiatif peng­urusan kos,” katanya di sini hari ini.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) FGV bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Disember 2017 melonjak kepada RM144 juta berbanding RM31 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi FGV dilihat bertambah baik dan naik berperingkat-peringkat secara konsisten mulai suku pertama hingga keempat 2017. PATAMI suku keempat meningkat 97 peratus kepada RM77 juta berbanding RM39 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Zakaria mahu momentum positif itu dapat diteruskan tahun ini bagi membolehkan FGV terus melaksanakan langkah rasionalisasi terhadap perniagaan bukan teras, penstrukturan kilang, menambah baik tadbir urus dan mengoptimumkan kos pentadbiran.

“Banyak yang kami nak lakukan tahun ini, antaranya, memastikan 15,000 hektar tanah ladang ditanam semula dan 28 kilang bersedia menerima pensijilan Rundingan Meja Bulat Mi­nyak Sawit Lestari (RSPO).

“Ini juga termasuk mengatasi masalah kekurangan pekerja dengan membina 527 blok pe­rumahan baharu bagi menempatkan 14,000 pekerja ladang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sosial bagi meningkatkan moral pekerja,” katanya.