Menurut akhbar The Straits Times Singapura, di bawah rancangan yang bermula lebih setahun lalu, Azman, 56, sepatutnya memilih seorang daripada timbalan beliau dalam barisan kepimpinan kanan Khazanah menjelang akhir tahun ini.

Calon tersebut ujar akhbar itu, sepatutnya ‘membayangi’ pe­mimpin Khazanah itu selama setahun sebelum lembaga pengarah dapat meluluskan pelantikan baharu menggantikan Azman, yang telah berkhidmat sejak 2004 dan kontraknya dijadualkan berakhir pada akhir Mei 2019.

“Azman berhasrat untuk me­ninggalkan Khazanah bagi memberi peluang kepada muka baharu di dalam dana pelaburan strategik berkenaan.

“Calon utama bagi jawatan timbalan pengarah urusan tersebut adalah dua pengarah eksekutif Khazanah iaitu Datuk Hisham Hamdan dan Ahmad Zulkarnain Onn,” jelas laporan itu memetik sumber daripada Khazanah dan pegawai kerajaan.

Bagaimanapun jelas laporan itu lagi, Hisham dan Ahmad Zulkarnain kini dikatakan berdepan persaingan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, iaitu institusi kewa­ngan kedua terbesar negara, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Arul Kanda Kandasamy.

Khazanah, dengan aset bernilai RM145 bilion setakat penghujung 2016, merupakan dana pelaburan kerajaan yang paling penting dan mengawal kepentingan langsung dalam pelbagai syarikat tersenarai seperti CIMB, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd. dan IHH Healthcare, selain mempunyai kepenti­ngan dalam Parkway Group di Singapura.

“Ahli politik kanan serta ahli perniagaan yang rapat dengan Tengku Zafrul dan Arul Kanda dikatakan sedang melobi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Khazanah dan mempunyai kata putus mengenai siapa bakal menggantikan Azman,” jelas laporan itu.

Panel Khazanah yang memantau penggantian kepimpinan itu sebelum ini diketuai oleh bekas Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Nor Mohamed Yackop, namun beliau meletakkan jawatan selepas selesainya Suruhanjaya Siasatan Di­raja Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an.

Nor Mohamed merupakan pemain utama dalam dagangan pertukaran asing bank pusat tersebut pada masa berkenaan.

Jelas laporan itu, sumber daripada Kha­zanah berkata, Nor Mohamed merupakan calon yang kuat untuk menggantikan Azman kerana beliau adalah daripada Kha­zanah sendiri, namun pemergiannya me­ngukuhkan lagi dorongan kum­pulan berkepentingan untuk mendapatkan calon daripada luar.