Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner (gambar) berkata, peningkatan perolehan data disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan perolehan internet mudah alih sebanyak 19 peratus tahun ke tahun iaitu sebanyak RM2.08 bilion.

Katanya, perolehan data berjumlah RM611 juta bagi suku keempat mewakili 34.1 peratus daripada perolehan keseluruhan berjumlah RM1.65 bilion.

Beliau berkata, Celcom turut menyaksikan prestasi lebih baik suku ke suku dengan peningkatan sebanyak 10.9 peratus dan 1.8 pe­ratus masing-masing dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM635 juta dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM281 juta.

“Jumlah pelanggan turut me­ningkat 3.2 peratus suku ke suku dengan penawaran pelan pasca bayar First Gold 80 dan First Gold Platinum dan hasil purata setiap pelanggan (ARPU) juga meningkat daripada RM76 pada suku ketiga kepada RM80,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kuehner berkata, antara faktor yang menyumbang prestasi stabil Celcom termasuklah pelaburan syarikat dalam pemodenan rangkaian dan pelancaran rangkaian 4G evolusi jangka panjang (LTE) serta pengenalan program-program digital dan produk baharu yang lebih menarik kepada para pelanggan.

“Ia turut disokong oleh penstrukturan organisasi pada suku lalu yang diperkenalkan Axiata Group,” katanya.

Beliau berkata, Celcom komited menyampaikan produk-produk dan perkhidmatan inovatif melalui saluran digital dan dalam talian bagi mencapai lebih ramai pelanggan.

“Kami akan terus fokus bagi menyampaikan nilai-nilai berkualiti tinggi bagi pengalaman pelanggan. Kami juga akan terus mempertingkatkan kualiti rangkaian dan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan sebagai pelengkap gaya hidup terkini.

“Celcom juga akan menumpukan kepada inisiatif peningkatan produktiviti yang kukuh serta pemasaran yang cekap bagi memastikan pertumbuhan hasil pada masa-masa akan datang,” katanya.