Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 2.6 peratus berbanding 133,700 buah kenderaan dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, Perodua Axia merupakan model terlaris de­ngan jumlah jualan sebanyak 44,700 buah atau 32.6 peratus daripada jumlah jualan kendera­an Perodua untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Kami ingin berterima kasih kepada rakan niaga dan pelanggan setia Perodua terutamanya yang telah membantu kami mencapai jumlah jualan memberangsangkan di sebalik persekitaran pasaran yang mencabar.

“Kami berharap momentum ini dapat diteruskan untuk bulan-bulan akan datang sehingga ke hujung tahun ini,” katanya pada majlis penyampaian hadiah Peraduan Servis dan Menang Pero­dua di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Anton Salleh Hashim dan Ketua Serantau Antarabangsa Asia Pasifik Petronas Lubricants, Mohd. Khalid Mohamed Latiff.

Dalam pada itu Zahari berkata, Perodua berharap lebih banyak insentif dari segi pembiayaan dapat diberikan bagi memudahkan pemilikan kenderaan di Malaysia menjelang pembentangan Bajet 2018 Oktober depan.

Katanya, persekitaran pasaran yang mencabar turut menyaksikan penurunan kadar kelulusan pinjaman sebanyak 20 peratus pada tahun ini.