Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar
Aminar Rashid

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, secara dasarnya Perodua begitu komited terhadap 1,457 rakan niaganya dalam ekosistem automotif negara apabila sebanyak RM2.9 juta dibelanjakan antara 2014 dan 2016 untuk program pembangunan vendor dan RM5.5 juta untuk pengedar sah Pe­rodua.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 176 adalah vendor manakala 215 merupakan pengedar sah Perodua, 90 adalah kontraktor dan selebihnya adalah pembekal dan agensi-agensi yang dilantik.

“Komitmen ini penting memandangkan terdapat peningkatan dalam penguasaan pasaran jenama kenderaan nasional kepada 49.1 peratus untuk tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 47.9 peratus bagi tempoh sama tahun lalu. Namun begitu, jumlah ini masih lagi rendah bagi menampung ekosistem automotif tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini selepas program motivasi, Perodua CEO Talk 2017 bagi membimbing 200 vendor dan pengedar sah automotif bumiputera.

Program CEO Talk 2017 dirasmikan Pengerusi Pe­rodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan turut dihadiri oleh beberapa agensi kerajaan berkaitan dengan agenda bumiputera dan pihak pe­ngurusan Perodua.

Di samping itu, program itu turut menyaksikan penyertaan lima tokoh korporat, usahawan yang berjaya dan tokoh motivasi berkongsi pengalaman dan nasihat dalam program sehari itu bagi mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi terutama sekali dalam keadaan penguasaan pasaran kenderaan nasional di bawah 50 peratus.

Antara ahli panel pada program itu termasuklah personaliti te­levisyen dan pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah; Pengasas Karangkraf, Datuk Hussa­muddin Yaacub; Pengasas Al-Ikhsan, Ali Hassan Mohd. Hassan; Timbalan Presiden Pemasaran Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pada separuh pertama tahun ini, Perodua berjaya mencatat peningkatan jualan kenderaan sebanyak 2.4 peratus kepada 99,700 buah berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 97,400 buah walaupun terus berdepan pelbagai cabaran termasuk persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Pencapaian ber­ke­naan me­nunjukkan syarikat tersebut berada di landasan yang tepat untuk memperoleh sasaran awal jualan Perodua berjumlah 202,000 buah kenderaan pada tahun ini. Axia menjadi model Perodua paling laris dengan jualan sebanyak 32,600 buah, diikuti Bezza (28,300), Myvi (24,000) dan Alza (14,700).