Ia merupakan kemenangan Emas buat Perodua untuk kali kedua berturut-turut sebagai jenama automotif kegemaran rakyat Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh amat gembira dan dalam masa yang sama berasa rendah hati dengan pengiktirafan buat Perodua itu.

“Kami akan terus memperbaiki diri kami dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang terbaik khususnya kepada pelanggan serta rakyat Malaysia menerusi program-program yang kami anjurkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Anugerah Jenama Putra itu mengiktiraf jenama-jenama ke­­­gemaran Malaysia berdasarkan wawancara dengan orang ramai.

Perodua telah memenangi sebanyak lapan anugerah sepanjang sembilan tahun acara tersebut diadakan dan meraih Emas yang pertamanya pada tahun lepas.

Acara itu dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dan disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pada tahun ini, penganjur bekerjasama dengan firma penyelidikan dan perundingan pasaran global, IPSOS untuk menyusun sampel penyelidikan jenama-jenama terbesar di Malaysia, dengan lebih daripada 7,000 wawancara yang dijalankan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan Anugerah Jenama Putra ini yang benar-benar menetapkan tanda aras bagi jenama-jenama di Malaysia untuk terus memperbaiki diri,” kata Dr. Aminar.

Dilancarkan pada 2010 oleh 4As dengan kerjasama Jenama Paling Bernilai Malaysia (MMVB), Anugerah Jenama Putra itu disokong oleh Persatuan Pengiklan Malaysia, Persatuan Pakar Media dan Persatuan Di­gital Malaysia.