Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, X-Concept menampilkan bentuk dinamik hatchback dengan pelbagai ciri menarik termasuk gril hadapan dan logo Perodua yang diterangi diod pemancar cahaya (LED).

Selain itu, katanya, jentera tersebut turut dilengkapi de­ngan lampu hadapan LED berbentuk Y, lampu isyarat membelok berturutan dan pintu sway yang mendedahkan ketiadaan tiang B apabila dibuka.

“Bahagian dalaman X-Concept mempunyai susun atur papan pemuka futuristik yang mengelilingi panel instrumen TFT, skrin sentuh tengah bersaiz 12.9 inci dan stereng flat-bottom,” katanya.

“Seiring dengan tema KLIMS 2018 iaitu melangkaui mobiliti, Perodua X-Concept bukan sekadar kenderaan. Ia merupakan manifestasi visi Perodua masa hadapan di mana kenderaan menjadi gaya hidup dan dilengkapi dengan teknologi yang sentiasa berhubung,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

KLIMS 2018 bermula 23 November sehingga 2 Disember di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Tambah Aminar, Perodua turut mempamerkan Myvi GT yang merupakan percubaan reka bentuk untuk menghasilkan versi Myvi yang lebih sporty.

Katanya, Myvi GT memiliki bumper hadapan dan belakang dengan penampilan yang lebih agresif, sistem brek yang dinaik taraf serta sport rim 17 inci, kerusi bucket Alcantara dan stereng flat-bottom.

Dalam pada itu, Aminar berkata, sudut pameran Perodua di KLIMS 2018 bertemakan pencahayaan yang menggambarkan visi dan cita-cita syarikat untuk terus mencetuskan idea-idea yang sejajar dengan keperluan dan kehendak pelanggan pada masa hadapan.

“Orang ramai dijemput mengunjungi ruang pameran Perodua kerana kami menjalankan pelbagai aktiviti menarik seperti permainan interaktif, peraduan digital, hadiah-hadiah dan persembahan,” ujarnya.