SUV tujuh tempat duduk dengan fungsi pelarasan fleksibel itu dijangka dilancarkan pada awal tahun depan.

Selain itu, model terbaharu tersebut diuar-uarkan sebagai mesra subsidi petrol sekali gus membayangkan SUV berkenaan akan menggunakan enjin berkapasiti 1,500 cc dan ke bawah.

Langkah Perodua itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan subsidi bersasar kepada pemilik kenderaan de­ngan kapasiti enjin 1,500 cc dan ke bawah. Perkara itu dibentangkan dalam Belanjawan 2019 di Parlimen bulan lalu.

SUV Perodua dirujuk sebagai kenderaan utiliti sport baharu (NSU) dengan kod 238L akan dikuasakan enjin 1.5L dan gaya rekaannya seakan sama seperti Toyota Rush. Model itu mungkin didatangkan dengan enjin 2NR Dual VVT-i seperti yang terdapat pada Myvi.

Rush menawarkan penjimatan bahan bakar sejauh 15.6 kilometer bagi setiap liter yang mana ia melayakkan model tersebut diiktiraf sebagai kende­raan cekap tenaga (EEV).

Kesemua ciri-ciri yang terdapat SUV Perodua lebih terarah kepada Rush atau gabungan antara Rush dan Daihatsu Terios di Indonesia. Harga jualan bagi SUV Perodua dijangka lebih rendah berbanding harga Rush iaitu RM93,000 dan RM98,000 sebuah.

Pelancaran SUV baharu sememangnya dinantikan oleh orang ramai setelah kali terak­hir tampil dengan mini SUV, Perodua Kembara pada 1998.

Strategi Perodua memper­kenalkan SUV dilihat tepat pada masanya susulan permintaan yang semakin meningkat terhadap model berkenaan selain ‘mencuri’ bahagian pasaran SUV tempatan dengan peletakan harga yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Proton Hol­dings Berhad akan melancarkan SUV pertamanya, X70 pada Rabu ini.