Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd. Datuk Dr. Zahari Husin berkata, untuk itu pihak­nya telah mengadakan Pera­duan Kemahiran Teknikal Kebangsaan Perodua bermula pada 1997 yang mempertan­dingkan beberapa kategori seper­ti penasihat servis, formen, mekanik serta kategori baharu iaitu penasihat servis badan kenderaan dan cat (B&P).

Katanya, para peserta yang menyertai peraduan itu berentap menerusi beberapa senario yang berkaitan dengan pelanggan.

“Para peserta dinilai berdasarkan ketepatan, ketelitian dan kecekapan mereka dalam menyelesaikan masalah yang diberikan.

“Bukan hanya daripada perspektif teknikal, tetapi mereka juga harus menumpukan kepada Kepuasan Pelanggan (CS),” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, peraduan tahun ini adalah antara yang terbesar yang pernah diadakan, dengan lebih daripada 2,000 kakitangan selepas jualan cawangan dan pengedar sah Perodua di seluruh negara mengambil bahagian dalam pusingan awal pada bulan Februari lalu.

Katanya, pertandingan peringkat kebangsaan yang diadakan pada 19 Julai lalu pula menyaksikan mekanik Nur Adilin Mohd. Yusuf (cawangan KK1) dan Muhd. ​​Izuan Kamarul Baharin (Nagoya Automobile), formen Jamaluddin Ja’asa (cawangan Seremban) dan Felix Chee Tuin (Posh Auto), penasihat servis Noor Faziha Md. Anas (cawangan Ipoh2) dan Siti Fatimah Abu Samah (Roda Juara), serta penasihat servis B&P Arthur James (cawangan KK1) muncul sebagai pemenang kategori ma­sing-masing.

“Para pemenang mewakili yang terbaik buat Perodua dari segi perkhidmatan di seluruh negara, dan merupakan contoh kepada kita semua.

“Kepakaran teknikal, tumpuan kepada pelanggan dan kemahiran penyelesaian masalah mereka akan dikongsi ke seluruh bahagian selepas jualan kami demi para pelanggan kami yang dihargai.

“Perkhidmatan selepas jualan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk memuaskan hati pelanggan kami. Melalui persaingan sihat, pertandingan ini memastikan perkhidmatan kami kekal berdaya saing dan relevan kepada keperluan dan kehendak semasa pelanggan.

‘‘People First dalam slogan Pero­dua merujuk kepada pekerja serta pelanggan kami. Kami tidak akan berhenti menambah baik dan meningkatkan keupayaan pekerja kami supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pe­langgan kami dan seterusnya mengekalkan kepercayaan mereka kepada Perodua,” katanya.