Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Ami­nar Rashid Salleh berkata, pencapaian itu meletakkan Pero­dua menguasai 41.6 peratus jumlah jualan kenderaan (TIV), ter­tinggi dalam industri.

“Dengan sokongan berterusan orang ramai, kami telah berjaya mencapai sebanyak 43 peratus penguasaan pasaran pada bulan April lalu iaitu tertinggi dalam sejarah penubuhan 26 tahun Pero­dua.

“Kami harap momentum akan berterusan sepanjang tahun untuk mencapai sasaran jualan seba­nyak 208,000 buah, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai jenama nombor satu negara,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan Perodua di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Suhaimi Hashim.

Aminar memberitahu, jumlah tempahan bagi kenderaan Perodua pula adalah sebanyak 114,000 buah, meningkat 14.2 peratus daripada 99,800 buah pada tempoh sama empat bulan pertama tahun lepas.

“Selain itu, perkhidmatan servis turut meningkat lima peratus, sementara perolehan daripada alat ganti, aksesori dan mengecat kereta berkembang 17 peratus bagi empat bulan pertama 2018,” katanya.

Mengulas mengenai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menggantikan cukai barang dan perkhid­matan (GST), Aminar berkata, perkara itu akan memberi kesan kepada industri automotif negara terutama terhadap harga jualan kenderaan.

“Jika dikira secara asas, harga jualan seolah-olah akan meningkat disebabkan SST, namun kami benar-benar perlu melakukan pengiraan dengan terperinci sebelum mengulas sebarang harga selanjutnya.

“kami perlu mengambil kira pelbagai sudut dan berbincang dengan pihak seperti Kementerian Kewangan dan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) me­ngenai arah tuju dan mungkin mengambil sedikit masa,” kata­nya.

Dalam pada itu, Aminar berkata, Perodua mengembalikan sepenuhnya GST kepada pelanggan bagi 18 hingga 31 Mei menjelang pelaksanaan kadar sifar GST pada 1 Jun kerana tidak mahu pelanggan menunggu.

“Selepas pengumuman kadar sifar GST, perniagaan kami agak terjejas sedikit kerana ramai pelanggan yang mengambil keputusan untuk menunggu 1 Jun sebelum membuat sebarang pembelian atau servis.

“Oleh itu, kami berikan semula kadar enam peratus bayaran GST ini di semua cawangan jualan dan perkhidmatan Perodua di seluruh negara supaya pelanggan tidak perlu lagi menunggu tarikh itu,” katanya.