Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 50,300 unit kenderaan Perodua yang berjaya dijual dalam tempoh tersebut.

Katanya, Perodua percaya pasaran di Malaysia Timur khususnya Sarawak mempunyai po­tensi yang tinggi dari sudut ekonomi memandangkan kerajaan komited untuk menaik taraf dan memajukan negeri itu.

“Perodua berusaha untuk me­ningkatkan lagi jumlah jualan dari Sarawak dan Sabah, terutamanya apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap dibina sepenuhnya pada tahun 2023.

“Ini dapat dicapai dengan menambah baik atau meningkatkan jumlah rangkaian Perodua di ke­dua-dua negeri tersebut,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Pusat Pameran Perodua MD World Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Acara itu dirasmikan oleh Ke­tua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Ketika ditemui pemberita, Zahari berkata, jualan sebanyak 50,300 unit itu merupakan pe­ningkatan 5.6 peratus berbanding 47,000 unit yang dijual bagi tempoh sama tahun lepas.

“Perodua melihat Sarawak dan Sabah mempunyai potensi yang baik dalam masa terdekat atau panjang. Namun begitu, kita melihat masih banyak kawasan di kedua-dua negeri ini yang belum dimanfaatkan, jadi kita tambah dengan membuka bilik pameran dan pusat servis,” katanya.

Katanya, pada masa ini Perodua memiliki 199 bilik pameran dengan 13 terletak di Sara­wak.– BERNAMA