Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, pusat berke­naan yang bernilai RM2 juta dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh pengedarnya, Nasrom (M) Sdn. Bhd. (Nasrom).

Menurut beliau, Perodua mengiktiraf dan menghargai pelaburan yang dibuat oleh Nasrom serta komitmen mereka dalam memenuhi keperluan pelanggan.

“Kami akan terus menambah baik kemudahan B&P sedia ada atau mewujudkan kemudahan baharu bagi memenuhi keperluan lebih daripada 3.2 juta pemilik kenderaan Perodua di seluruh negara ketika ini.

“Kemudahan ini juga membuktikan komitmen kami dalam mengembangkan ekosistem automotif tempatan terutamanya melalui pengedar bebas seperti Nasrom. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab Perodua sebagai syarikat kereta nasional,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasrom, Ab. Alim @ Ab. Halim Hassan berkata, kemudahan B&P baharu itu berkeluasan 1,579 meter persegi dan mampu membaiki sehingga 1,080 kereta setahun.

Katanya, pelanggan dijamin dengan mutu kerja yang berkualiti, alat ganti yang tulen termasuk membantu dalam proses tuntutan insurans.

“Kami sangat memahami bahawa proses membaiki kenderaan boleh memberi tekanan, namun kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pengalaman pelanggan dengan Nasrom menjadi mudah dan menyenangkan.

“Perodua sentiasa bersikap adil dengan rakan-rakan niaganya dan kami berbesar hati untuk melabur di kemudahan baharu ini. Kami yakin sekiranya Perodua berkembang pesat begitu juga dengan perniagaan kami,” ujarnya.

Nasrom yang dilantik sebagai pengedar sah Perodua sejak 1994 turut mengendalikan cawangan jualan (1S) dan servis serta alat ganti (2S) yang kedua-duanya terletak di Kubang Kerian. Terdapat tujuh pusat B&P di Pantai Timur meliputi kawasan Kuala Terengganu, Kemaman, Kuantan, Jerantut dan Kota Bharu.