Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, taman hijau itu dibangunkan di bahagian tengah kawasan kilang pengeluaran utama di Rawang, Selangor.

Beliau berkata, Eco Park berkonsepkan 3R iaitu kurangkan, guna semula dan kitar semula akan mempunyai sebuah kebun kecil bagi tanaman yang menggunakan kaedah hidroponik serta kawasan rehat hijau untuk kegunaan pekerja.

“Selain itu, semua bahan binaan bangunan Eco Park menggunakan sumber-sumber daripada bahan terbuang yang terdapat di kilang pengeluaran. Tenaga elektrik juga diperoleh melalui tenaga solar dan bateri yang boleh dicaj semula bagi memastikan tiada sisa karbon dilepaskan ke persekitaran.

“Pembinaan taman ini membuktikan komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar dan berusaha untuk menambah baik operasi syarikat agar ia mesra alam sekali gus menjadikan Perodua sebagai sebuah syarikat automotif hijau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengumuman pembinaan Perodua Eco Park dibuat semasa pelancaran Perodua Eco Month 2017, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aminar Rashid memberitahu, program Perodua Eco Month 2017 dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Perodua.

Jelas beliau, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepentingan konsep 3R kepada 10,500 kakitangan Perodua.

“Selain mempromosikan per­sekitaran yang bersih dan sihat, program ini dapat memupuk amalan murni dengan menghapuskan amalan pembaziran dalam operasi seharian.

“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi ceramah amalan persekitaran terbaik, pertan­dingan kreatif dan kitar semula bahan-bahan terbuang,” ujarnya.