Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, tugas Axiata adalah memastikan hala tuju dan fokus syarikat berupaya memberi nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan.

“Sebenarnya apa yang dibuat oleh kerajaan adalah bagus bagi kami kerana apabila Axia­­ta dibentuk, inilah yang kami lakukan iaitu memastikan ahli lembaga pengarah syarikat tidak mempunyai kaitan dengan politik.

“Kami telah melaksanakannya dulu, untuk memisahkan antara perniagaan dan politik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 Axiata di sini hari ini.

Minggu lalu, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan dilaporkan akan mengkaji semula kedudukan ahli lembaga pengarah dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Malah, majlis penasihat itu juga akan memanfaatkan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan GLC yang mana sesuai, untuk membantu mereka dari segi maklumat, sumber dan input dalam menangani pelbagai isu yang digariskan oleh kerajaan.

Khazanah Nasional Berhad memiliki 36.31 peratus kepen­tingan dalam Axiata.

Mengenai Axiata, Jamaludin berkata, pihaknya optimis dengan operasinya di India walaupun banyak cabaran yang berlaku di negara tersebut termasuk penggabungan Idea Cellular dan Vodafone India.

“Bagaimanapun, kami tidak mengharapkan pemulihan semula dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Pengukuhan ringgit dan kerugian daripada operasinya di India menyaksikan Axiata mencatat kerugian bersih sebanyak RM94.35 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2018, merosot berbanding keuntu­ngan bersih sebanyak RM262.03 juta dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh itu, kumpulan turut mencatat perolehan lebih rendah sebanyak RM5.74 bilion berbanding RM5.88 bilion pada tahun lalu.

Menurut beliau, bagi aktiviti pengambilalihan, Axiata menerusi anak syarikat milik penuhnya, edotco Group Sdn. Bhd. berharap dapat memuktamad­kan satu atau dua urus niaga berskala besar yang berkaitan dengan infrastruktur menara telekomunikasi.

“Kami tidak menetapkan sebarang tempoh bagi melengkap­kan pengambilalihan ini tetapi kami menyasarkan firma di rantau ASEAN dan Asia Selatan. Ini akan meletakkan kami dalam kedudukan lima teratas bagi infrastruktur menara menjelang 2021 berban­ding kedudukan di tangga kelapan ketika ini,” katanya.