Pengguna juga terdedah kepada pelbagai produk menarik seperti barang-barang fesyen yang dipopularkan oleh blogger yang kemudiannya menubuhkan kedai e-dagang mereka sendiri seperti Fashion Valet.

Dengan semua asas penting yang ditubuhkan, ekonomi di­gital pada tahun 2010-an sudah bersedia untuk maju ke peringkat seterusnya.

* 2012–2014: Pengenalan Pemain E-dagang Baharu & Pertumbuhan Pantas Mereka.

E-dagang pada 2012 adalah ‘bonanza’ kepada kebanyakan perniagaan. Ini telah di­sahkan oleh pelbagai institusi yang dipercayai seperti Google dengan menyatakan bahawa Malaysia mempunyai penembusan internet sebanyak 61 peratus dan Euromonitor me­nyatakan bahawa jumlah urus niaga e-dagang ialah RM842 juta pada 2011.

Dengan semua tanda positif ini, Malaysia menyaksikan kemasukan lima pemain tambahan ke dalam pasaran e-dagang iaitu Lazada, Zalora, Rakuten, Hermo dan 65daigou (kini dijenamakan semula sebagai Ezbuy). Antara pemain terbesar yang telah membuka kedai e-dagang ialah syarikat Jepun Rakuten yang mencatat kejayaan dan pengalaman yang besar dari negara asalnya.

Kemasukannya ke Malaysia dilihat sebagai langkah yang berani kerana mereka tidak membentuk usaha sama dengan syarikat tempatan. Dengan kejayaan mereka di Jepun, mereka yakin telah ‘memperoleh rahsia’ mengenai bagaimana untuk mengendalikan perniagaan e-dagang yang berjaya.

Berdasarkan populariti blog fesyen & kejayaan kedai Fashion Valet, satu lagi e-dagang ditubuhkan khusus dalam produk kecantikan dan kosmetik iaitu Hermo. Lebih menarik lagi, Hermo diasaskan oleh dua lelaki yang pada awalnya tiada pengetahuan tentang produk kecantikan.

Pengasasnya, Ian Chua dan PS Chong memulakan perniagaan mereka dengan hanya menjual kasut di forum. Pada suatu hari, mereka terjumpa satu e-dagang kecantikan di China yang berjaya dan mengambil ilham daripada perniagaan tersebut untuk menyesuaikan kedai kecantikan dan kosmetik berdasarkan pendekatan sendiri khusus untuk rakyat Malaysia. Pada hari ini, Hermo adalah antara platform e-dagang kecantikan yang pa­ling tinggi dilawati iaitu lebih 1 juta rakyat Malaysia secara bulanan.

Selain itu, antara pemain yang juga mencari peluang untuk meneroka potensi fesyen di dunia e-dagang ialah Zalora. Ia adalah e-dagang fesyen dengan pendekatan yang sedikit berbeza untuk mendekati pengguna mereka dan merupakan antara yang pertama melancarkan aplikasi membeli-belah mudah alih.

Pada 2012, penggunaan telefon pintar semakin me­ningkat apabila ramai rakyat Malaysia lebih gemar menggunakan telefon bimbit untuk melayari internet. Zalora mengambil kesempatan daripada trend telefon pintar de­ngan memperkenalkan aplikasi membeli-belah mereka pada 2013 dengan tawaran menarik dan katalog produk yang besar.

Paling penting, tahun ­2012 menyaksikan pengenalan plat­form e-dagang yang kini menjadi platform membeli-belah paling popular di Malaysia. Lazada diperkenalkan sebagai marketplace (pasaran dalam talian), yang mana mereka sa­ngat mirip seperti pusat beli-belah digital di internet.

Platform e-dagang ini yang diasaskan oleh Rocket Internet mencapai sukses dalam masa yang singkat dengan menyediakan katalog produk yang besar untuk pengguna. Di samping itu, mereka memberikan peluang kepada perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebuah platform online untuk memasarkan produk mereka tanpa perlu melalui kerumitan mewujudkan portal dalam talian sendiri.

Kejayaan Lazada di Malaysia juga dilihat di negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam, Thailand dan Filipina. Menjelang 2014, Lazada menjadi platform e-dagang yang pa­ling popular di Malaysia, mengatasi pemain yang berpengalaman seperti Lelong dan eBay. E-dagang itu juga berjaya menarik pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka dan dalam tempoh dua tahun nilai pe­laburan tersebut berharga kira-kira RM1.7 bilion.

Ketua Eksekutifnya, Max Bittner pada 2014 menyatakan bahawa mereka ingin memasarkan kejayaan Jack Ma dan Alibaba di China. Mereka tidak tahu bahawa Jack Ma akan meletakkan pelaburan besar ke Lazada pada tahun-tahun yang akan datang.

Dalam edisi seterusnya saya akan berkongsi tentang bagaimana Lazada terus-menerus menguasai e-dagang di Malaysia dan kebangkitan pelbagai pemain dalam usa­ha untuk mengalahkan gergasi ­e-dagang.

Jeremy Chew adalah Pemasar Kandungan Kanan iPrice Group (https://iprice.my/)