Ketua Pegawai Operasi Pembangunan UEM Sunrise, Datuk Roslan Ibrahim berkata, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana pihaknya berjaya merekodkan ambilan yang tinggi bagi projek Residensi Solaris Parq.

Menurut beliau, setakat 30 November lalu kadar ambilan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM755 juta itu mencecah 80 peratus sejak ia dilancarkan pada Oktober lepas.

“Kadar ambilan yang tinggi ini adalah di luar jangkaan kami. Di sebalik keadaan pasaran hartanah semasa yang perlahan kami berjaya mencatatkan prestasi positif untuk projek berkenaan.

“Kami menjangkakan kesemua unit akan habis pada tahun depan,” katanya kepada pembe­rita dalam sesi lawatan unit pa­meran Re­sidensi Solaris Parq di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Pam Loh Pek Mee; Pengarah Projek Central 2, Liong Kok Kit dan Pengurus Kanan Pembangunan UEM Sunrise, Lai Sook Fun.

Residensi Solaris Parq terdiri daripada dua menara dengan 288 unit setiap menara dan menawarkan lima saiz binaan yang berbeza iaitu dari 721 hingga 2,469 kaki persegi. Harga bermula daripada RM873,800 hingga RM2,968,800 seunit.

Roslan menambah, pihaknya sentiasa membuat kajian pasaran dengan berbincang bersama pelanggan berkenaan apa yang mereka mahu sebelum membuat sesuatu pembangunan.

“Kami sudah tahu apa yang hendak dibangunkan, kehendak pelanggan juga amat penting bagi memastikan setiap pembangunan yang dilakukan menepati kehendak semasa pembeli.

“Pembangunan Residensi So­laris Parq yang dijangka siap pada 2022 menyediakan pelbagai kemudahan berkualiti dengan hiasan dalaman yang elegan dan mewah agar ia bertepatan dengan cita rasa masyarakat hari ini,” katanya.