Beliau berkata, perkara itu sejajar dengan matlamat Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mahu membawa perubahan kepada bentuk kepimpinan kerajaan negeri yang lebih berkesan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, langkah itu dilihat perlu bagi memastikan aspek perkhidmatan dapat diperkasa dari semasa ke semasa.

“Kita tahu perkara ini tidak mudah untuk dilaksanakan tetapi kita yakin mampu untuk lakukan perubahan ini. Ini yang selalu tekankan kepada pemimpin-peminpin saya, jangan ubah gaya hidup.

“Kita perlu besarkan perkhidmatan kita, bukan besarkan pejabat kita. Biar kita jadi hamba kepada rakyat, jangan jadi hamba kepada kekayaan dan perhiasan dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas Warisan di sini hari ini.

Terdahulu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim dari kawasan Petagas.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peragas, Uda Sulai, Ahli Parlimen Putatan, Awang Busaini Sahari dan ADUN Tanjung Aru, Junz Wong.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan negeri dibawah pimpinannya juga berhasrat untuk mengagihkan semua kekayaan negeri kepada rakyat secara menyeluruh.

“Meskipun negara sedang mengalami beberapa masalah kewangan kesan daripada pentadbiran terdahulu, tetapi kita yakin dapat melakukan perubahan ke arah kebaikan.

“Justeru, kita yakin bahawa dengan kekayaan yang ada pada Sabah, kita dapat kayakan semua rakyat di negeri ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE