Ramai yang mengutarakan perihal `Pendidikan Holistik,’ yakni penekanan penanda aras yang tidak berlandaskan kepada akademik semata-mata, namun jika kita memberikan satu res­trospektif, setiap kemasukan pelajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah, dari sekolah menengah ke kolej atau universiti, akhirnya pelajar masih dihakimi dengan penanda aras bilangan A atau jumlah kredit dalam peperiksaan mereka.

Hal yang sama juga diambil kira bagi lepasan pelajar diploma, ijazah atau sarjana, mahu pun doktor falsafah. Dengan ini, sekali pun acap kali kita ucapkan perkataan ‘pendidikan yang holistik,’ namun, perlaksanaan adalah begitu ironik.

Satu Indeks Kapasiti Modal Insan perlu digariskan bagi memperlihatkan satu para­meter pendidikan yang mengambil kira hal ehwal seperti; Kepercayaan, Kematangan, Minat, Kemahiran, Keupayaan Berfikir Aras Tinggi, Mobiliti, Public Relations, Kesetiaan, Keaktifan, Kreativiti, Kapasiti Informasi dan sebagainya.

Jika BMI (Body Mass Index) boleh memberikan gambaran kesihatan dan tidak semata-mata berlandaskan berat badan, maka Indeks Kapasiti Modal Insan perlu diberi penekanan.

Jika pelajar sekolah umpa­­­manya, kurang berkebolehan di bidang akademik tetapi maha pencipta begitu adil kerana mereka akan dikurniakan dengan pelbagai kebolehan lain.

Jika di sekolah pelbagai mata pelajaran diberikan seperti kelas melukis, kelas bersukan, kelas seni, kelas kokurikulum tetapi pada hakikatnya, apabila kita semakin tinggi peringkat pelajaran kita ke kolej dan universiti, maka kapasiti kita semakin mengejut dan jumud kerana pelajar disuruh dan dihukum untuk memfokuskan kepada penanda aras CGPA.

Indeks yang benar-benar holistik perlu dibina. Ini kerana ramai ‘cerdik pandai’ dalam kalangan akademik menjadikan ‘kepintaran’ mereka untuk menjadikan rasuah, penipuan dan jenayah kolar putih sebagai satu budaya untuk menuntut kekayaan.

Indeks ini bakal juga dilaksa­na­­kan bagi setiap anggota kerajaan dan ahli politik demi memberikan gambaran sebenar kekuatan dan kapasiti mereka sebagai insan yang lebih holistik.

Saya berpendapat, penanda aras atau indeks ini perlu diberi satu evolusi oleh pihak MQA, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia sebagai permulaan dan dilangsungkan oleh semua kementerian dan agensi. Perkara ini juga perlu di­selaraskan ke peringkat swasta.

Jika kita membaca Verdict sesebuah kenderaan apabila satu pandu uji dilaksanakan, juruuji atau jurupandu akan mengambil kira pelbagai perihal dan tidak hanya memfokuskan kepada kekuatan kuasa kuda atau kilas.

Mereka juga akan mengambil inisiatif untuk mencungkil isu suspensi, penggunaan bahan api, keselesaan, keupayaan melalui bukit-bukau, jalan raya yang bersimpang-siur serta juga aspek-aspek lain yang lebih mampu untuk memberikan satu corak ujian yang lebih kompleks dan komprehensif.

Sekiranya indeks kapasiti ini tidak dibentuk, maka akan wujudlah satu polemik atau isu besar yang mungkin terlepas pandang oleh ramai pihak iaitu, Inflasi Pendidikan.

Inflasi pendidikan bakal wujud dan sedang wujud sebenarnya, apabila jawatan yang dahulunya hanya memerlukan kelulusan lepasan SPM, kini memerlukan pemegang diploma dan jawatan yang memerlukan lepasan diploma kini menjadikan jawatan tersebut perlu diisi oleh lepasan ijazah serta jawatan yang layak bagi pemegang ijazah, sudah pasti memerlukan lepasan sarjana untuk mengisinya.

Natijahnya, penanda aras ilmu, akhlak dan kreativiti dan kemahiran perlu menjadi satu parameter baharu. “Pa­ling dekat dengan aku kedudukannya pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.”(Hadis riwayat ArRidha).

Azad Jasmi adalah Pengarah Eksekutif TAJ International College yang juga jurulatih INSKEN, SUPERB, BWTP. Beliau boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]