Radzi Jidin

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin berkata, ini amat penting supaya orang awam lebih yakin yang mereka dilindungi sekiranya melaporkan sebarang salah laku kepada pihak berkuasa.

“Kita mahu mereka dilindungi kerana jika tidak, tiada sesiapa akan muncul sebagai pemberi maklumat.

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat (AS), mempunyai Dodd-Frank Act sebagai kaedah yang efektif untuk melindungi pemberi maklumat,” katanya dalam Persidangan Audit Dalaman Sektor Awam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Salihin Abang dan Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr. Nurmazilah Mahzan.

Persidangan yang memberi fokus mengenai Tanggapan Terhadap Nilai Awam itu adalah kali ketiga dianjurkan MIA dan dihadiri profesional dalam sektor berkaitan.

Dalam ucapan perasmian, Salihin berkata, sebagai peneraju dalam pendidikan profesional akauntan dan jaminan profesional termasuk audit dalaman, MIA akan memantau dengan teliti sebarang perkembangan yang memberi kesan kepada audit dalaman sektor awam.

“Kita akan melihat dalam gambaran yang lebih jelas dan bagaimana kerajaan membuat pembaharuan berdasarkan prinsip kecekapan, akaun­tabiliti dan ketelusan (CAT) yang mempengaruhi kerja-kerja audit dalaman.

“Selepas itu, kita akan melihat peranan yang dimainkan dalam pengesanan penipuan dan pengurusan risiko,” katanya.

Sementara itu, Nur­mazilah yang ditemui selepas persidangan berkata, terdapat banyak faktor yang membolehkan juruaudit dalaman memainkan peranan dengan lebih efektif supaya dapat menjadi mata dan telinga kepada agensi.

“Ini amat penting untuk memastikan tidak wujud sebarang konflik, berat sebelah tetapi lebih telus pada masa hadapan. Saya yakin kesedaran kena ada dan setiap orang, misalnya pemberi maklumat, kalau dapat memainkan peranan ini, berupaya me­ningkatkan integriti,” katanya.