Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, caruman yang dibayar pada tahun lalu itu me­nunjukkan peningkatan sebanyak RM200 juta berbanding 2.7 bilion yang dicatatkan pada 2015.

“Jumlah penerima faedah yang berdaftar dengan Perkeso sentiasa meningkat setiap tahun, peningkatan kemalangan pergi dan balik kerja serta kes penyakit tidak berjangkit yang menyebabkan hilang upaya kekal dan kematian sema­kin tinggi.

“Atas dasar itulah Perkeso perlu sentiasa memikirkan perancang­an bagi menambah dana pembayaran faedah dengan melabur selagi ia memberi keuntungan kepada kami dan pencarum,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Perkeso merupakan badan ber­kanun di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diamanah­kan untuk mentadbir dua skim keselamatan sosial iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja daripada kejadian luar jangka ben­cana pekerjaan termasuk pe­nyakit dan kemalangan semasa perjalanan berkaitan pekerjaan.

Skim Keilatan pula memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja terhadap keilatan atau kematian akibat sebarang sebab.

Mohammed Azman memberitahu, pihaknya giat merencana strategi mempertingkat dan memperkukuhkan pelaburan bagi menjamin pengekalan modal untuk tujuan pemberian faedah kepada pekerja di negara ini.

Katanya, Perkeso mendapat mandat daripada Kementerian Kewangan untuk melabur dengan risiko yang rendah tetapi memberi pulangan yang tinggi bagi menjamin pengekalan modal.

“Kami juga baru sahaja mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk melabur kira-kira tiga peratus daripada jumlah dana sedia ada dalam ekuiti persendirian.

“Buat masa ini, Perkeso mela­bur dalam pelbagai aktiviti pe­la­buran seperti sekuriti kerajaan, pasaran wang yang memberi pulangan tetap, ekuiti jangka panjang dan hartanah,’’ katanya.

Perkeso juga tambah beliau, sedang meneroka beberapa lagi peluang pelaburan dalam pasaran hartanah untuk menambah portfolio hartanah sedia ada iaitu di KL Sentral dan Putrajaya.

Mohammed Azman berkata, Perkeso sentiasa berhati-hati dalam memilih pelaburan yang tepat iaitu pulangan tidak kurang daripada enam peratus kerana pengekalan modal amat penting kepada agensi berkenaan disebabkan peningkatan jumlah pembayaran faedah tahun ke tahun.

“Saya yakin segala peranca­ngan mengenai pelaburan ini ak­hirnya akan memberi manfaat kepada pencarum dan mengekalkan tanggungjawab Perkeso membayar faedah kepada setiap pencarum yang berhadapan dengan kemalangan atau kematian,” katanya.