Hari ini, Cikgu Saham memberi garis panduan bagaimana pedagang saham jangka masa singkat dapat menghindarkan diri daripada mengalami kerugian saham ke­rana tempoh pegangan yang singkat.

Tindakan yang pantas

Pedagang saham yang me­lakukan urus niaga saham ini sememangnya mempunyai ma­sa yang singkat untuk memegang saham yang dibeli. Maka, pedagang saham perlu membuat tindakan menjual yang pantas. Tindakan pantas ini ialah pedagang saham perlu tahu pada harga apa saham tersebut harus dijual sekiranya saham yang dibeli itu naik.

Ilmu analisis teknikal jitu

Pedagang saham yang ingin melakukan urus niaga saham secara kontra perlu mempu­nyai ilmu analisis yang jitu dan dapat membaca pergerakan saham dengan baik melalui carta-carta saham. Ini berbeza dengan pelabur saham yang banyak bersandar pada analisis fundamental sesebuah syarikat tersenarai dalam membuat keputusan beli dan jual saham.

Selalu memerhatikan turun naik pasaran

Pedagang saham yang aktif juga harus mempunyai banyak masa untuk memerhatikan turun naik pasaran. Sekiranya seseorang pedagang saham tidak mempunyai masa atau tidak peka dengan turun naik harga saham, dikhuatiri mereka terlepas daripada menjual saham yang dibeli semasa­ harga sedang meningkat.

Tidak banyak berfikir untuk buat keputusan

Pedagang saham kontra ini juga tidak perlu mengambil masa yang lama untuk berfikir semasa ingin membeli mahupun menjual saham. Ini kerana kadang-kala harga saham bergerak agak cepat.

Ramai pedagang saham me­ngalami kerugian saham kerana terlalu lama membuat keputusan untuk menjual dan ramai juga yang terlepas peluang membeli saham yang sedang naik kerana alasan ini.

Telah ada di dalam minda saham apa yang ingin dibeli

Pedagang saham yang ber­disiplin dan bijak biasanya akan membuat persediaan awal. Persediaan awal ini bermaksud mereka telah membuat kerja rumah atau membuat kajian saham terlebih dahulu sebelum membuat keputusan saham apakah yang patut dibeli. Daripada kajian tersebut, mereka juga mengetahui pada harga apakah yang harus dijual nanti.

Dalam erti kata lain, selepas mereka dapat membeli sesu­atu saham syarikat tersenarai, mereka akan terus memasukkan pesanan menjual dengan segera pada harga yang diingini.

Menghafal rentak dan trend pasaran

Oleh kerana pedagang saham memperuntukkan banyak masa atau kerap melihat pergerakan turun naik pasaran, maka lama-kelamaan mereka akan dapat menghafal rentak dan trend pergerakan pasaran. Ini memudahkan mereka untuk membuat tindakan yang cepat.

Mengikuti perkembangan atau berita semasa

Pedagang saham yang agresif juga selalu mengambil tahu perkembangan dan berita semasa pasaran atau berita-berita yang dikeluarkan oleh syarikat tersenarai.

Ini juga dapat membantu mereka membuat keputusan yang pantas. Sebagai contoh, baru-baru ini satu saham syarikat berkaitan minyak dan gas telah mengumumkan status kewangan yang negatif dan pengumuman ini menyebabkan harga saham syarikat tersenarai tersebut jatuh dengan banyak selama dua hari berturut-turut secara drastik.

Mempunyai modal mencukupi dan melunaskan kerugian kontra dengan cepat.

Pedagang saham kontra juga perlu mempunyai modal saham yang mencukupi kerana mereka ini jarang membayar harga ke­seluruhan pembelian. Mereka membayar jumlah kerugian kontra sahaja.

Sekiranya kerugian kontra ini tidak dilunaskan pada masa yang ditetapkan, pedagang saham akan disekat daripada membeli saham atau akaun urus niaga saham akan digantung. Jika akaun urus niaga saham disekat daripada pembelian, pedagang saham tidak dapat membeli lagi dan jika pasaran bagus, mereka akan terlepas peluang untuk membeli dan meraih keuntungan.

Merancang lebih awal

Sebagai pedagang saham kontra perlu membuat perancangan awal. Sebagai contoh, semasa hari kelepasan Sabtu dan Ahad, mereka boleh membuat kajian atau menyenaraikan saham-saham yang bakal dibeli pada minggu depan atau pada hari Isnin misalnya.

Diharapkan dengan garis panduan ini, pedagang saham dapat mengelakkan daripada mengalami kerugian kontra atau sekarang-kurangnya kerugian tersebut merupakan kerugian yang minimum.

Mereka yang ingin menjana pendapatan dalam saham boleh mendaftar di https://tinyurl.com/investrade2018.