Menurut AirAsia, penumpang hanya dibenarkan membawa satu bagasi kabin berukuran 56 x 36 x 23cm (termasuk pemegang dan roda) serta satu beg kecil seperti beg komputer riba atau beg tangan berukuran 40 x 30 x 10cm.

Jelas syarikat penerbangan itu, jumlah berat untuk kedua-dua beg tersebut tidak boleh melebihi tujuh kilogram.

“Pelanggan yang datang dengan bagasi kabin melebihi had berat, saiz dan melebihi kuantiti yang dibenarkan akan dikenakan caj bagasi berlebihan untuk setiap kilogram atau yuran bagasi yang perlu dibayar di pintu masuk pesawat. Beberapa barangan yang diikat atau dibungkus bersama tidak akan dikira sebagai satu bagasi kabin.

“Selain itu, penumpang digalakkan untuk membuat pendaftaran pratempah peruntukan bagasi dalam talian ketika membuat tempahan penerbangan mereka atau melalui khidmat ‘Urus Tempahan Saya’ di laman web AirAsia,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah syarikat ber­kenaan, barangan bebas cukai yang dibeli di lapangan terbang tidak akan menjadi sebahagian daripada peruntukan bagasi kabin dengan syarat ia dibungkus di dalam beg plastik kedap udara lut sinar (Security Tamper-Evident Bag) yang disediakan dan di dalam kadar peruntukan barangan bebas cukai negara destinasi mereka.

Dalam pada itu, bayi berumur di bawah dua tahun tidak diberikan sebarang peruntukan bagasi kabin manakala kanak-kanak berumur dua tahun dan ke atas akan mene­rima peruntukan yang sama se­perti orang dewasa.