ABRAR ANWAR
ABRAR ANWAR 

Menurut Kajian Golongan Kaya Baharu 2018 Standard Chartered, 64 peratus daripada golongan kaya baharu Malaysia percaya menguruskan wang mereka secara digital telah membantu mereka semakin hampir mencapai matlamat kewangan mereka dan 67 peratus merasakan kebiasaan dengan instrumen digital menjadi faktor pen­ting dalam kejayaan peribadi mereka.

Selain itu, 63 peratus pengguna golongan kaya baharu di Malaysia berkata mereka merasakan dapat lebih mengawal wang dan pelaburan mereka hasil daripada perbankan dalam talian.

Menurut kajian itu, rakyat Malaysia juga menerima pakai pengurusan harta digital dengan 58 peratus mengatakan mereka akan melabur dalam produk kewangan dalam talian dengan bantuan da­ripada penasihat atas permintaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar Anwar berkata, pengguna golongan kaya baharu berada di trajektori menaik dan memerlukan perkhid­matan kewangan yang mudah dan selesa dan teknologi digital untuk mengembangkan akses kepada pengurusan wang dan mengukuhkan kedudukan kewangan mereka.

Abrar berkata, produk kewangan digital membolehkan golongan kaya baharu mencapai matlamat mereka dan instrumen ini penting dalam membantu mereka membawa kejayaan kewangan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Keyakinan terhadap teknologi baharu penting bagi mereka yang mahu menjadi celik kewangan digital dan membolehkan mereka memanfaatkan teknologi perbankan baharu bagi mengurus dan mengembangkan kekayaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Golongan kaya baharu di Malaysia yakin dengan perkhidmatan dalam talian bank mereka dengan 60 peratus mempercayai penasihat dalam talian, dengan sebahagian atau semua simpanan hayat mereka.

Bagaimanapun, kepercayaan terhadap institusi kewangan hanya dalam talian turun mendadak, dengan 39 peratus me­nyatakan mereka akan melakukan perkara yang sama bagi bank hanya dalam talian.

Abrar berkata, kajian itu juga mendedahkan tidak bergerak seiring dengan kepantasan teknologi boleh menghalang golongan kaya baharu daripada mencapai matlamat kekayaan mereka sama sekali.

Kajian Golongan Kaya Baharu 2018 bertajuk Climbing the Prosperity Ladder, menyelidik pandangan 11,000 pengguna golong­an kaya baharu dari 11 pasaran di Asia, Afrika dan Timur Tengah.

Mereka adalah individu yang mempunyai wang mencukupi untuk berbelanja, menabung dan melabur dan kuasa ekonomi mereka memberi impak kepada pertumbuhan pasaran. – BERNAMA