Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hans-Peter Ressel berkata, jualan dalam e-dagang tidak menerima kesan daripada keadaan ekonomi semasa kerana orang ramai masih mendapat sumber pendapatan setiap bulan dan mereka tetap berbelanja.

Katanya, perubahan hanya membabitkan tingkah-laku per­belanjaan pelanggan dan syarikat harus mengikut corak perbelanjaan tersebut bagi memenuhi permintaan mereka.

“Menawarkan produk baharu akan membawa peluang baharu kepada pelanggan. Syarikat perlu mengenal pasti trend untuk mengetahui permintaan dalam pasaran. Ketika ini permintaan terhadap Lazada masih sama, malahan meningkat,” katanya pada majlis pelancaran laman terbaharu Lazada, Oriental Pavillion di sini hari ini.

Sementara itu, Ressel berkata, Oriental Pavillion adalah inisiatif Lazada untuk memperkenalkan jenama-jenama terkemuka TMall, sebuah platform runcit dalam talian dari China yang dikendalikan oleh Alibaba Group.

Menurutnya, sehingga kini 16 jenama termasuk Semir, QCY, Bluedio dan Puppyoo dengan keseluruhan 100,000 produk te­lah berdaftar secara eksklusif di Lazada Malaysia

“Gabungan Alibaba dan Lazada telah membuka ruang yang lebih luas untuk jenama-jenama terkemuka China berkembang di pasaran Asia Tenggara terutamanya di Malaysia.

“Pelancaran Oriental Pavillion adalah tepat kerana pelanggan kini mempunyai akses untuk pelbagai produk bermutu tinggi dari China pada harga yang berpatutan,” ujarnya.

Sempena pelancaran tersebut, Lazada turut menawarkan kempen Tahun Baru Cina bertema Deals Louder than Roosters dari 17 hingga 19 Januari ini dengan tawaran sehingga 88 peratus.

Selain Oriental Pavillion, jenama lain yang terlibat dalam tawaran tersebut termasuklah JBL, Tesco, Lifebouy, L’oreal Paris, Focus Point, Samsung, Tefal, Senheng, Philips dan Bosch.