Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, pelaksanaan korporat tersebut akan memboleh­kan Kumpulan Affin meningkatkan kedudukan modal setelah kesemua entiti perniagaan berada di bawah Affin Bank Berhad sekali gus mempunyai akses terus kepada pasaran ekuiti dan modal.

Katanya, pelaksanaan korporat Affin Holdings yang dijangka di­sempurnakan pada separuh pertama 2018 itu berjalan dengan lancar apabila pemegang saham sebulat suara bersetuju dan meluluskan pemindahan status penyenaraian daripada Affin Holdings kepada Affin Bank.

Beliau berkata, penyusunan semula kumpulan berkenaan turut menyaksikan pemindahan seluruh pegangan saham Affin Holdings dalam Affin Hwang Investment Bank Bhd., Affin Moneybrokers Sdn. Bhd., AXA Affin Life Insurance Bhd. dan AXA Affin General Insu­rance Bhd. kepada Affin Bank.

“Pelaksanaan korporat ini akan meningkatkan sinergi seluruh kumpulan dan membolehkan kami me­ngorak langkah untuk mencapai fasa pertumbuhan seterusnya.

“Langkah ini juga akan me­ngukuhkan lagi kedudukan modal kami dan meningkatkan pulangan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Affin Holdings di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Affin Holdings, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin; Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Investment, Datuk Maimoonah Hussain; Pengarah Eksekutif Affin Holdings, Lee Yoke Kiow dan Ketua Pegawai Kewangan Affin Bank, R. Ramanathan.

Julai lalu, Affin Holdings telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan cadangan penyusunan semula organisasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Kamarul Ariffin berkata, Kumpulan Affin juga me­nyasarkan untuk memberi tumpuan kepada sektor pembiayaan runcit menerusi program transformasi dan pelaksanaan korporat yang berlaku.

Jelas beliau, Kumpulan Affin sebelum ini lebih menumpukan kepada pembiayaan korporat bakal meningkatkan penawaran produknya termasuk bagi sektor pembiayaan runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami sedang berusaha untuk menawarkan lebih banyak produk kepada pelanggan terutama bagi sektor pembiayaan runcit dan PKS yang mana sebelum ini 55 peratus perniagaan tertumpu kepada pembiayaan korporat dengan runcit hanya sekitar 45 peratus.

“Namun begitu, tahun ini sahaja kami telah berjaya meningkatkan pembiayaan runcit kepada kira-kira 50 peratus dan akan menyediakan lebih banyak produk kepada pelanggan.

“Kami juga mahu muncul sebagai kumpulan perbankan universal yang lebih kukuh dan berkembang positif pada masa akan datang,” katanya.