Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd. Khairil Abdullah berkata, perkhid­matan pengiriman wang sahaja belum cukup bagi mewujudkan kepercayaan antara pelanggan dan pembekal per­khid­matan kerana tahap penggunaannya masih rendah.

“Jika anda boleh mencipta satu penyelesaian komprehensif yang membolehkan orang ramai untuk terlibat dalam perbinca­ngan melebihi setakat pengiriman wang, anda dengan perlahan-lahan akan mula membina kepercayaan itu,” katanya semasa Forum Global Mengenai Pengiriman Wang, Pelaburan dan Pembangunan 2018 Asia Pasifik di sini baru-baru ini.

Mohd. Khairil, yang merupakan seorang ahli panel dalam forum itu berkata, ciri-ciri lain yang mempunyai penggunaan yang tinggi seperti pembeli­an dalam talian, akan membolehkan pengguna untuk membiasakan diri mereka de­ngan penyelesaian yang ditawarkan.

“Jadi, apabila tiba kepada penggunaan fungsi dengan halaju yang rendah, seperti pengiriman wang, ia tidak akan menjadi masalah,” katanya.

Beliau juga yakin pembayaran digital akan menggantikan wang tunai pada masa hadapan, mengikuti contoh perkembangan dalam industri telekomunikasi.

“Satu ketika dahulu, kami (syarikat telekomunikasi) mempunyai perniagaan utama yang dipanggil SMS (khidmat pesanan ringkas) tetapi sekarang, ia hilang dalam sekelip mata,” katanya, merujuk kepada letusan aplikasi media sosial seperti WhatsApp yang telah menggantikan SMS.

Forum selama tiga hari sehingga Khamis ini, dianjurkan secara bersama dengan Bank Negara Malaysia, Tabung Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian dan Kumpulan Bank Dunia, bertujuan bagi meneroka strategi yang boleh memberi manfaat tambahan daripada perniagaan pengiriman wang. – BERNAMA