Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Operasi MASwings, Kapten Datuk Azlan Mahmood berkata, pengubahsuaian itu melibatkan kemudahan dalaman pesawat tersebut seperti kerusi, lapik kerusi, karpet dan langsir.

"Kerja pengubahsuaian ini dijalankan secara berperingkat dan telah dimulakan awal tahun ini. Kita menjangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan.

"Selepas semua ditukar dan diubah, kita akan membuat proses pembersihan ke atas pesawat-pesawat ini sebelum beroperasi," katanya kepada pemberita dia Pejabat MASwings Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Ketua Bahagian Komersial MASwing, Shauqi Ahmad dan Ketua Bahagian Kejuruteraannya, Aaron Dominic.

Azlan berkata, inisiatif pengubahsuaian ke atas pesawat MASwings itu bertujuan menaiktaraf prestasi dan mutu syarikat penerbangan tersebut bagi kepuasan pelanggannya.

Beliau menambah, langkah berkenaan juga sebagai penghargaan kepada para pelanggan setia penerbangan itu di Sabah dan Sarawak yang berjumlah kira-kira 60 peratus.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata, MASwings berjaya mengurangkan jumlah pembatalan penerbangannya ke peringkat paling minimum sejak awal tahun ini.

"MASwings mencatatkan kira-kira 96 hingga 100 peratus penerbangan setiap hari bagi Sabah dan Sarawak, sekali gus menunjukkan peningkatan operasi kami ke tahap lebih baik setakat ini.

"Mengenai penerbangan ke Lahad Datu, MASwings hanya mengurangkan satu penerbangan sahaja iaitu tinggal empat daripada lima penerbangan sebelum ini," jelasnya. - UTUSAN ONLINE