Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Md. Hasrin Md. Hassim berkata, orang Melayu masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain dalam bidang saham.

Jelas beliau, mereka lebih gemar untuk terlibat dengan pelaburan yang tidak sah di sisi undang-undang serta mudah terpengaruh dengan jaminan akan mendapat pulangan lumayan dalam jangka masa yang singkat.

“Golongan ini perlu diberi perhatian dan didikan mengenai asas pelaburan yang betul. Mungkin sebelum ini mereka ada melabur tetapi tidak menguntungkan dan sebab itu memilih jalan mudah dengan menyertai skim cepat kaya.

“Selain itu, pada tahun 1997 hingga 2000 berlaku krisis ekonomi yang menyebabkan ba­nyak pelabur saham me­ngalami kerugian. Mereka yang berada dalam situasi tersebut mungkin serik untuk melabur dan memberi kebimbangan kepada masyarakat bahawa pelaburan saham suatu yang berisiko besar,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Simposium Saham Utusan 2017 di sini baru-baru ini.

Tambah Md. Hasrin, Pribumi sangat menggalakkan lebih ba­nyak seminar dan simposium berkaitan pelaburan saham diadakan di negara ini.

Menurut beliau, program-program sedemikian mampu memberikan pendedahan, peluang dan perkongsian yang bermanfaat kepada masyarakat untuk menceburi bidang saham.

Katanya, Pribumi mahu ma­syarakat melabur dengan bijak dan pandai menilai risiko sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.

“Mereka perlu belajar teknik pelaburan dengan betul, tahu bila masa hendak jual atau beli saham dan mengetahui keadaan ekonomi dunia mampu mempengaruhi sesuatu nilai saham berkenaan.

“Oleh itu, ambil peluang ini untuk memperbaiki diri dan menajamkan kemahiran. Untuk menjadi seorang pelabur saham yang berjaya, proses pembelajaran ti­dak pernah terhenti dan sentiasa dikembangkan dengan ilmu-ilmu baharu,” ujarnya.