Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA), Hazli Sham Kassim berkata, gas merupakan bahan api fosil terbersih yang menjadi sumber tenaga utama dan penyelesaian kepada tenaga boleh diperbaharui di negara-negara maju.

Katanya, MGA sendiri sedang berusaha menyediakan beberapa kertas cadangan bagi mempromosi gas sebagai bahan api utama untuk pelbagai sektor tempatan.

“Kami berbincang rapat dengan pembuat dasar supaya penggunaan gas diperluaskan lagi. Usaha-usaha pembaharuan dari segi perundangan, infrastruktur serta harga akan menjadikan industri gas lebih kompetitif dan inovasi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) Kali Ke-19 di sini hari ini.

Penggunaan gas di Malaysia begitu meluas terutamanya sebagai pengganti arang batu untuk menjana tenaga elektrik, penghawa dingin berpusat serta bahan utama untuk membantu penghasilan produk-produk berkaitan petrokimia.

Semalam, semasa merasmikan AOGC, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan syarikat-syarikat minyak dan gas meningkatkan penggunaan gas asli sebagai pilihan sumber bahan api yang bersih.

Perdana Menteri mahu pemain-pemain industri mengadakan kerjasama pintar de­ngan kerajaan untuk menjadikan penggunaan gas asli lebih ko­mersial.

Kata Hazli Sham lagi, sejak 30 tahun lalu penggunaan gas sebagai bahan api di Malaysia telah me­ningkat enam kali ganda.

“Gas merupakan bahan api fosil yang bersih dan efektif kos, oleh itu bahan api tersebut menjadi faktor utama yang membantu perkembangan ekonomi Malaysia.

“Kita masih memerlukan bahan api fosil memandangkan masih terdapat kekangan untuk membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui terutamanya dari segi kos,” katanya.

MGA dianggotai 150 buah syarikat-syarikat tempatan yang terlibat di dalam industri gas bermula daripada peringkat huluan sehingga ke hiliran.

HABIS