Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali berkata, ia juga sebahagian daripada inisiatif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meningkatkan kecekapan operasi tren berkenaan, dengan memanfaatkan pengalaman dan kemahiran golongan berkenaan.

Katanya, penyertaan kumpulan terbabit sebagai kakitangan sokongan, khusus bagi memastikan kelancaran operasi MMMSL menjelang tempoh wukuf bermula 29 Ogos ini.

"Lebih 100 pesara dan bekas kakitangan dimanfaatkan perkhidmatan mereka, dengan pengkhususan dalam bidang penugasan masing-masing, bagi menyokong operasi tren haji, yang juga penyertaan tahun ketiga Prasarana di Arab Saudi.

"Keseluruhannya 500 warga Malaysia terbabit dalam pengendalian MMMSL yang juga sebahagian daripada 17,000 petugas, termasuk anggota pasukan keselamatan bertugas sepanjang musim haji kali ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Prasarana terbabit dalam pengendalian operasi MMMSL sejak 2015 membabitkan jajaran landasan sepanjang 18.1 kilometer menghubungkan Mina ke Arafah.

Keseluruhannya, 15 tren dengan setiap satunya memiliki 12 gerabak yang bergerak atas landasan bertingkat, MMMSL adalah pengangkutan jemaah bagi melaksanakan ibadah itu, sekali gus membantu menangani kesesakan di tempat melontar jamrah.

Azhar berkata, beroperasi selama tujuh hari khusus untuk musim haji, MMMSL bakal memberi manfaat kepada 350,000 jemaah sehari, khususnya dalam kalangan negara Asia Barat dan Asia Selatan yang ditempatkan berhampiran stesen operasi.

"MMMSL sebahagian daripada projek luar negara Prasarana yang banyak membantu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya dalam konteks pengurusan pengangkutan awam.

"Walaupun MMMSL hanya beroperasi dalam tempoh singkat, namun 'keunikan' perkhidmatan itu mendapat tumpuan kerana ia perkhidmatan tren paling sibuk dan paling padat di dunia, dengan keupayaan membawa kapasiti penumpang (jemaah) yang tinggi pada satu-satu masa sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Kecekapan Prasarana dalam pengoperasian MMMSL turut menarik tumpuan Kerajaan Arab Saudi, khususnya Lembaga Pembangunan Wilayah Mekah (MRDA), sekali gus membantu melonjakkan imej negara, terutama dalam kelompok negara Islam maju.

Malah, pengalaman dimiliki Prasarana turut membantu kelancaran pergerakan jemaah, terutama pada waktu wukuf yang disifatkan sebagai tempoh kritikal sepanjang musim haji, selain memastikan mereka dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selesa dan selamat.

"Menjelang tempoh wukuf dan ibadah melontar itu adalah detik paling kritikal dalam pengoperasian MMMSL, terutama membabitkan elemen kawalan dan pengurusan pergerakan jemaah yang cukup ramai, khususnya di tiga stesen.

"Ini medan ujian sebenar keupayaan pasukan petugas kita di lapangan. Namun, kumpulan petugas kita, termasuk kakitangan sokongan sudah dipersiapkan bagi mendepani sebarang bentuk keadaan, termasuk cabaran mental dan fizikal dalam melaksanakan penugasan terbaik," katanya. - UTUSAN ONLINE