TONY FERNANDES
TONY FERNANDES

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia tidak akan bersaing dengan pengendali perkhidmatan penerbangan penuh terutamanya yang melibatkan laluan popular Kuala Lumpur-London.

Katanya, laluan Kuala Lumpur-London telah mencetuskan perang harga dalam kalangan syarikat penerbangan.

“Kami telah memutuskan bahawa penerbangan ultra-jarak jauh tidak relevan sekarang. Kami tidak akan tergoda ke dalam perang harga untuk ke London.

“Kami biarkan me­­-
­reka (pengendali per­khidmatan penerban­gan penuh) untuk ber­­saing bagi destinasi-destinasi di Eropah. Kebanyakan mereka menanggung kerugian yang besar,” katanya di laman twitter miliknya di sini hari ini.

Tambah Fernandes, AirAsia X akan kekal kepada penerbangan berdurasi lapan hingga sembilan jam.

“Fokus kami mungkin di Asia, dengan satu pengecualian laluan yang jauh seperti Hawai yang hanya lapan jam dari Jepun,” katanya.

April lalu, Fernandes dilaporkan berkata, AirAsia X bakal memulakan penerbangan ke Eropah untuk memanfaatkan permintaan yang meningkat ke benua tersebut selepas pelancaran laluan baharu AirAsia X Kuala Lumpur-Osaka-Honolulu (Hawaii) pada 28 Jun lalu.

Beliau telah membayangkan destinasi seperti London, Manchester dan Dublin.

Dalam pada itu Fernandes berkata, pemulihan kewangan Air­Asia X berjalan lancar dan akan pulih sepenuhnya pada suku kedua.

“Suku ketiga dan keempat akan menjadi suku terbaik bagi AirAsia X,” katanya.

Syarikat penerbangan tambang murah itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM230.54 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 berbanding kerugian bersih sebanyak RM349.62 juta pada tahun 2015.

Ia terus merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM10.34 juta pada suku pertama 2017 biarpun jauh lebih rendah daripada RM179.49 juta yang direkodkan tempoh sama tahun lalu.