Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, nilai aset pelaburan pula mencecah RM814.38 bilion, naik 0.53 peratus atau RM4.25 bilion dari 31 Disember 2017.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, RM321.05 bilion atau 39.42 peratus dilaburkan dalam aset patuh syariah manakala selebihnya di­la­burkan dalam portfolio konvensional.

“Sebanyak RM1.22 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM12.88 bilion dijana untuk Simpanan Syariah, manakala RM11.65 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun pasaran maju mengalami penurunan pada suku pertama 2018 berikutan kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada dijangkakan, KWSP mampu mencatatkan prestasi konsisten pada suku tahun tersebut, didorong oleh pasaran domestik dan ASEAN yang telah mencatatkan pertumbuhan positif.

“Ditambah dengan diversifikasi dalam pelbagai pasaran, geografi dan sektor, kami telah dapat me­ngurangkan impak akibat kejatuhan dalam ekuiti pasaran maju, seterusnya membolehkan kami mengekalkan prestasi yang konsis­ten untuk kesemua portfolio, yang mana ekuiti domestik merekodkan prestasi lebih baik berbanding kelas aset lain,” katanya.

Shahril Ridza berkata, pada suku pertama 2018, ekuiti yang merangkumi 41.59 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP telah menyumbang RM7.93 bilion atau 61.58 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku tahun tersebut.

Ujarnya, sebanyak 50.53 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan aliran pendapatan konsisten dan stabil.

“Suku tahun pertama me­nyaksikan instrumen pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.76 bilion atau 36.99 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahunan,” katanya.

Dalam suku tahun yang dikaji beliau berkata, segmen hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan pelaburan negatif sebanyak RM107.38 juta.

“Ini sebahagian besarnya dise­babkan penurunan nilai mata wang dolar AS berban­ding mata wang utama yang lain, termasuk Ringgit Malaysia, yang telah memberi kesan terhadap pelaburan tersebut.

“Pendapatan pelaburan negatif yang direkodkan bagi kelas aset tersebut bagaimanapun dijangka diimbangi oleh aliran masuk pendapatan pelaburan pada suku-suku tahun yang akan datang,” katanya.

Setakat akhir Mac 2018, pela­buran asing KWSP yang merangkumi 27.30 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan telah menyumbang 33.60 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun yang dikaji.

“Prestasi pasaran global pada suku tahun semasa dan sehingga akhir tahun ini dijangka tidak menentu dan kami kekal berwaspada berikutan kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Rizab Persekutuan AS.

“Tekanan dan kelemahan perniagaan global yang semakin meningkat dalam kalangan negara baharu muncul telah meng­ancam semua pasaran, dan oleh itu, kami lebih waspada terhadap jangkaan pulangan untuk tahun ini.

“Di peringkat domestik pula, kami mengekalkan unjuran positif jangka panjang kerana asas ekonomi Malaysia tetap kukuh meskipun mengalami ketidaktentuan jangka pendek selepas pilihanraya umum baru-baru ini,” katanya.