Menurut PCG, pemerolehan tinggi sebanyak RM449 juta atau 13 peratus turut dicapai menerusi peningkatan jumlah jualan pada suku ketiga 2017 ini.

Katanya, kadar penggunaan loji kumpulan secara keseluruhan adalah 86 peratus berbanding 100 peratus pada tempoh sama tahun lalu disebabkan beberapa aktiviti pelaksanaan yang telah dilakukan dalam suku tersebut.

“Walaupun penggunaan loji menurun namun pengeluaran dan jumlah jualan telah melonjak naik berbanding suku sama tahun lalu menerusi sumbangan daripada projek loji Sabah Ammonia Urea (Samur) yang telah memulakan operasi pada Mei lalu.

“Purata harga produk secara keseluruhan juga telah menca­tatkan peningkatan selari dengan lonjakan harga minyak mentah global,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Bagi suku ketiga 2017, keuntu­ngan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) PCG menurun sedikit sebanyak RM26 juta atau 2 peratus kepada RM1.4 bilion disebabkan perbe­lanjaan operasi yang tinggi semasa melaksanakan perubahan berkanun.

PCG juga berjaya mencatatkan peningkatan pendapatan seba­nyak RM2.8 bilion atau 28 peratus kepada RM12.7 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama 2017 berbanding RM9.91 bilion dalam tempoh sama tahun lalu keba­nyakannya disumbang oleh jumlah jualan dan harga lebih tinggi di samping pengukuhan dolar AS.

EBITDA untuk tempoh sembilan bulan 2017 juga naik RM1.1 bi­lion atau 29 peratus kepada RM4.9 bilion manakala keuntu­ngan selepas cukai pula meningkat RM1.2 bilion atau 54 peratus kepada RM3.4 bilion.

Mengulas lanjut, PCG berkata, kumpulan menjangka pasaran olefin dan derivatif akan stabil dalam tempoh terdekat.

“Segmen baja dan metanol dijangka kukuh, disokong oleh permintaan dari sektor pertanian dan ketiadaan bekalan dari Asia Barat.

“Harga metanol dijangka stabil disebabkan oleh kekurangan bekalan serantau di samping permintaan hiliran yang stabil,” ujar syarikat tersebut.