Pendapatan syarikat itu turut meningkat lima peratus kepada RM1.9 bilion daripada RM1.82 bilion tahun lalu.

Menurut Malakoff, penda­patan yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh pembayaran tenaga yang lebih tinggi direkodkan di kemudahan arang batu Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) disokong oleh harga arang batu yang lebih tinggi.

Faktor lain termasuk Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV) telah menerima kelulusan bagi faktor penghantaran yang lebih tinggi dan kenaikan tarif gas asli di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang dipanjangkan.

Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh pembayaran tenaga dan kapasiti yang lebih rendah di Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) akibat gangguan kemudahan.

“Keuntungan sebelum cukai menurun 22.3 peratus kepada RM165.4 juta daripada RM212.9 juta setahun lalu.

“Ini disebabkan bayaran pam­­pasan yang diterima daripada penyelesaian pertikaian dengan IHI Corporation Japan membabitkan kegagalan dandang TBP setahun lalu, serta sumbangan yang lebih rendah daripada TBE akibat gangguan kemudahan,” kata Malakoff da­lam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Meskipun begitu, Malakoff berkata, ia sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan daripada pelupusan 20 peratus kepentingan ekuiti syarikat dalam Lekir Bulk Terminal Sdn. Bhd. dan susut nilai lebih rendah bagi kos pemeriksaan-C.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2018, untung bersih Malakoff susut 29 peratus kepada RM188.95 juta berban­ding RM266.22 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan bagaimanapun meningkat 2.3 peratus daripada RM5.33 bilion kepada RM5.46 bilion.